Sabtu, 27 April 2019 | 1:27am
NIK Nazmi (belakang lima dari kiri) meraikan kejayaan Setiawangsa Rangers FC selepas menjuarai AirAsia KL Junior League.
NIK Nazmi (belakang lima dari kiri) meraikan kejayaan Setiawangsa Rangers FC selepas menjuarai AirAsia KL Junior League.

Setiawangsa Rangers FC sedia berdepan Akademi JDT

KUALA LUMPUR: Kejayaan Setiawangsa Rangers FC menjuarai pertandingan bola sepak bawah 16 tahun Divisyen C AirAsia KL Junior League, baru-baru ini menjadikan kelab itu kian dikenali dan menjadi sebutan.

Presiden Setiawangsa Rangers FC, Khushairi Aizad Jamalludin mengakui beberapa kelab besar sudah bersetuju mengadakan perlawanan persahabatan susulan kejayaan itu.

“Selepas menentang Akademi FELDA United yang berkesudahan seri tanpa jaringan, kita dijadualkan berentap menentang Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas Aidilfitri nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Majlis Makan Malam meraikan kejayaan skuad kendalian Sabri Abd Saffar dan Irwan Mohd Ali itu malam tadi.

Turut hadir  Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi yang juga  Penaung Setiawangsa Rangers FC, mengakui kejayaan diraih pada penyertaan sulung di AirAsia KL Junior League itu begitu mengagumkannya.

“Kejayaan ini bukan saja membanggakan saya tetapi juga mengharumkan nama Setiawangsa dan penduduknya.

“Malah saya harap kejayaan satu permulaan dan menjadi tonik terbaik dalam memburu lebih banyak kejayaan di masa depan.

“Saya juga sudah minta pengurusan mula merancang dan membuat persiapan menghadapi musim depan dengan kami akan beraksi dalam Divisyen B,” katanya.

Walaupun tidak sampai setahun ditubuhkan dan pertama kali bertanding, Setiawangsa Rangers FC membuktikan kehebatan mereka apabila gah menjuarai liga itu dengan  mengumpul 25 mata hasil lapan kemenangan dan seri dan tewas sekali.

Berita Harian X