Selasa, 16 April 2019 | 9:29pm
BARISAN pemain dan kakitangan pasukan SMK Putera ceria menjulang trofi Piala Sumbangsih Liga KPM 2019. - Foto KPM
BARISAN pemain dan kakitangan pasukan SMK Putera ceria menjulang trofi Piala Sumbangsih Liga KPM 2019. - Foto KPM

SMK Putera gah julang Piala Sumbangsih Liga KPM 2019

KUALA PILAH: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera dari Kelantan membuka kempen Liga Bola Sepak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 100PLUS 2019 dengan langkah kanan selepas menundukkan SMK Zaaba 3-0 dalam aksi Piala Sumbangsih, Ahad lalu.

Ia adalah kemenangan sulung SMK Putera dalam pentas Piala Sumbangsih sejak ia diperkenalkan pada 2010 sekali gus menandakan pembukaan tirai kempen Liga KPM 2019.

Kemenangan ini ibarat penyuntik semangat buat skuad kendalian Mohd Hanapiah Awang selepas dinaikkan taraf ke Liga Super musim ini.

“Kami memberi ruang kepada pasukan lawan untuk menguasai perlawanan dan memanfaatkan setiap peluang terhidang meskipun tidak banyak.

“Kemenangan ini sesuatu yang membanggakan, namun perjalanan kami masih lagi jauh dan banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki menjelang aksi pertama Liga KPM minggu depan,” kata Hanapiah.

SMK Putera membuka tirai gol menerusi rembatan cantik kapten pasukan, Syafiq Aiman Maharin dari luar kotak penalti selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol tuan rumah pada minit ketujuh.

Jaringan berkenaan nyata menyuntik semangat pemain pemain SMK Putera yang menjuarai Liga Perdana musim lalu untuk merobek kubu lawan.

Akhirnya ia membuahkan hasil apabila Muhd Alif Haikal Azmi mencatat nama selaku penjaring kedua pelawat pada minit ke-58 sebelum Muhd Amirul izwan Mamad Rusdi melengkapkan kemenangan mutlak SMK Putera lapan minit kemudian.

Pengarah Bahagian Pendidikan, Sukan dan Seni Kementerian Pelajaran Malaysia, Zainal Abas hadir menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Zainal ketika ditemui berkata Liga KPM musim kali ini dilihat lebih menarik menerusi kerjasama dengan persatuan bola sepak negeri serta kehadiran beberapa pasukan akademi daripada kelab kelab terbaik dari Malaysia.

“Menerusi kerjasama dengan kelab-kelab dan pasukan dalam Liga Super dan Liga Perdana yang turut menyertai saingan bawah 17 tahun dan menaja pasukan bawah 14 tahun menunjukkan satu kerjasama yang baik di antara KPM dan yang terbabit dalam membangunkan peringkat akar umbi,” kata Zainal.

Turut hadir Pengurus Penajaan dan Pengaktifan 100PLUS, Engku Isyamuddin Tuan Losin.

Berita Harian X