Ahad, 14 April 2019 | 1:38am
PEMAIN Everton, Andre Gomes diasak pemain Fulham, Tom Cairney pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, malam tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Everton, Andre Gomes diasak pemain Fulham, Tom Cairney pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, malam tadi. - Foto Reuters

Fulham buat Everton derita, Bournemouth belasah Brighton

LONDON: Pemburuan Everton untuk memburu slot Liga Europa musim depan menerima tamparan selepas tewas 2-0 kepada Fulham di Craven Cottage menerusi jaringan Tom Cairney dan Ryan Babel, malam tadi.

Berakhir separuh masa pertama penuh aksi, Cairney yang menjadi antara tonggak Fulham memburu tempat ke Liga Perdana Inggeris musim lalu memecah kebuntuan sejurus babak kedua bermula selepas menerima hantaran menarik Babel.

Cairney memperoleh gol pertamanya dalam Liga Perdana menerusi rembatan kencang melepasi jangkauan penjaga gol Everton, Jordan Pickford sekali gus memberi petanda positif untuk kelab meraih kemenangan kelima dalam saingan liga elit musim ini.

Dominic Calvert-Lewin hampir menyamakan kedudukan buat Everton apabila percubaannya terkena tiang tetapi Babel memastikan kemenangan tuan rumah pada minit ke-69 hasil larian solo menarik dari tengah padang sebelum tenang menewaskan Pickford.

PEMAIN Fulham, Tom Cairney meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, malam tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Fulham, Tom Cairney meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan dalam perlawanan menentang Everton pada aksi Liga Perdana Inggeris di Craven Cottage, malam tadi. - Foto Reuters

“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar. Kami tidak beraksi dengan baik, dan tidak seimbang di atas padang. Ia hari yang malang untuk kami,” kata pengendali Everton, Marco Silva.

Kekalahan Everton itu bermakna mereka kekal di tangga kesembilan dengan 46 mata. Kelab Merseyside itu kembali menjadi pencabar slot Liga Europa musim depan selepas meraih beberapa keputusan memberangsangkan tetapi kini mereka perlu menduduki tangga ketujuh untuk mengesahkan slot itu.

Fulham yang sudah pun tersingkir dari Liga Perdana kekal di tangga kedua terbawah dengan 20 mata.

Sementara itu, Brighton & Hove Albion kalah dengan keputusan besar 5-0 kepada  AFC Bournemouth di gelanggang sendiri manakala Burnley menewaskan Cardiff 2-0 di Turf Moor dan Southampton mengalahkan Wolverhampton Wanderers 3-1. - AFP

Berita Harian X