Jumaat, 12 April 2019 | 12:46pm
 GAMBAR fail, Pengurus kelab Johor Darul Takzim (JDT), Luciano Figueroa. - Foto Owee Ah Chun
GAMBAR fail, Pengurus kelab Johor Darul Takzim (JDT), Luciano Figueroa. - Foto Owee Ah Chun

JDT tidak boleh pandang rendah PJ City

JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta'zim (JDT) harus tampil lebih agresif untuk memastikan tiga mata mampu di bawa pulang tatkala berdepan Petaling Jaya City FC (PJ City) pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam esok.

Rekod pertemuan JDT menentang PJ City yang dahulunya dikenali MIFA FC tampak seimbang dan pasukan bimbingan K Devan itu memiliki reputasi selaku pembunuh gergasi sekali gus mampu mengulanginya seandai JDT turun beraksi sambil lewa dalam perlawanan itu nanti.

Justeru pengurus JDT, Luciano Figueroa yang ditugaskan membimbing skuad Harimau Selatan harus bijak mengambil peluang untuk membentuk taktikal yang ampuh menerusi gandingan Diogo Luis Santo, Safawai Rasid dan Gonzalo Cabrera untuk menggempur benteng lawan bagi memburu jaringan.

Tanpa kelibat Natxo Insa yang masih dibelenggu kecederaan sehingga terlepas aksi Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Shandong Luneng FC yang berkesudahan kelab dari China itu menewaskan JDT 2-1 pada 9 April lalu dan barisan tengah juara liga lima musim berturut-turut harus bijak merencana gerakan dan pastinya Harissu Harun, Afiq Fazail dan kemungkinan Nazmi Faiz Mansor bakal jadi taruhan.

Persembahan yang konsisten walaupun tewas kepada Shandong Lunen FC, baru-baru ini sepatutnya menjadi bekalan terbaik buat JDT berdepan kelab yang berpengkalan di Petaling Jaya itu dan benteng pertahanan JDT juga perlu diperkemaskan lagi terutama bagi mengelak kesilapan mudah yang membolehkan pasukan lawan mengambil kesempatan.

Gandingan Mauricio Nascimento dan Adam Nor Azlin mungkin menjadi taruhan JDT untuk mengukuhkan benteng pertahanan sambil di posisi bek kanan sewajarnya meletak S Kunanlan yang beraksi cemerlang ketika saingan ACL manakala posisi bek kiri akan diisi oleh Corbin Ong dan Farizal Marlias akan kekal menjaga gawang skuad Harimau Selatan.

Namun JDT tidak boleh pandang rendah kemampuan anak didik Devan yang melakar kejutan ke atas selepas mencatat keputusan seri 1-1 pada aksi liga di Stadium Darul Makmur, 7 April lalu dan pastinya pertembungan kedua-dua pasukan bakal sengit.

JDT kini masih menghuni tangga teratas liga selepas mengumpul 20 mata manakala PJ City berada di tangga kesembilan dengan mengumpul lapan mata, walaupun perbezaan mata antara JDT dan PJ City begitu ketara tetapi barisan pemain Harimau Selatan tidak boleh bersikap ambil mudah sebaliknya menganggap ia perlawanan penting untuk mengekalkan momentum selaku pendahulu liga.

#ke JDT, Liga Super, PJ City

Berita Harian X