Selasa, 9 April 2019 | 9:49pm
PEMAIN Shandong Luneng, Graziano Pelle (kiri) diasak pemain Johor Darul Ta'zim, Hariss Harun. - Foto AFP
PEMAIN Shandong Luneng, Graziano Pelle (kiri) diasak pemain Johor Darul Ta'zim, Hariss Harun. - Foto AFP

Shandong menang tipis ke atas JDT

KUALA LUMPUR: Jaringan dua bekas bintang Liga Perdana Inggeris, Marouane Fellaini dan Graziano Pelle pada babak pertama sudah cukup untuk Shandong Luneng FC menumpaskan Johor Darul Ta'zim (JDT) 2-1 di Stadium Olimpik Jinan, sebentar tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Benjamin Mora kekal di kedudukan tercorot Kumpulan E saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) selepas hanya mengumpul satu mata daripada tiga perlawanan.

Kekebalan kubu JDT hanya bertahan setengah jam apabila Fellaini yang juga bekas pemain Manchester United menanduk masuk bola sepakan penjuru Hao Junmin.

Tujuh minit kemudian, kedudukan itu berubah lagi apabila bekas pemain Southampton, Pelle menyempurnakan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan Aidil Zafuan Abd Radzak.

JDT bagaimanapun berjaya merapatkan jurang hasil jaringan jarak jauh yang menarik daripada Safawi Rasid pada minit ke-59. 

Skuad Harimau Selatan melakukan beberapa perubahan termasuk membawa masuk Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad namun gagal mengubah keputusan itu.

Peluang terbaik untuk JDT menyamakan kedudukan hadir pada masa kecederaan menerusi sepakan percuma Gonzalo Cabrera yang sekadar menggegar palang gol.

Kedua-dua pasukan akan bertemu lagi di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada 24 April ini.

Berita Harian X