Selasa, 2 April 2019 | 9:28pm
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kanan) meninjau keadaan padang bola semasa lawatan, di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (tiga kanan) meninjau keadaan padang bola semasa lawatan, di Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari, Gambang. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Cheng Hoe, Kim Swee sertai panel kajian naturalisasi

KUANTAN: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberi bayangan jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe serta pengendali skuad bawah 23 tahun, Datuk Ong Kim Swee akan menganggotai panel kajian teknikal bagi proses pengambilan pemain naturalisasi.

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, berkata panel kajian teknikal yang dipengerusikan Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi itu akan dianggotai Pengarah Teknikal, Peter De Roo dan jurulatih Selangor, B Satiananthan.

Beliau berkata, panel kajian teknikal itu akan mengkaji dan merangka mekanisme terbaik dalam pemilihan pemain yang bakal menyarung jersi skuad kebangsaan termasuk mengambil kira faktor umur dan persembahan mereka.

“Kita perlu ingat pengambilan pemain naturalisasi ini macam satu kertas kerja yang kita perlu tahu bagaimana proses dan syarat yang perlu kita patuh. Macam mana proses dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM ada kumpulan yang akan mengkajinya,” katanya dalam sidang media selepas melakukan lawatan ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari di Gambang, di sini, hari ini.

Hamidin mengulas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, Sabtu lalu yang meluluskan mekanisme proses pengambilan pemain naturalisasi untuk mewakili skuad kebangsaan menerusi tiga peringkat yang meliputi pemain jangka pendek, jangka pertengahan dan jangka panjang.

Sementara itu, Hamidin memberi jaminan proses itu tidak akan menjejaskan pemain belia negara terutama bagi peringkat jangka panjang yang akan mewakili skuad kebangsaan.

“Saya rasa ia tidak akan ramai. Kita ikut proses. Kalau lima (pemain) adakah akan jejaskan pemain belia? Saya rasa tidak,” katanya yang meminta peminat bola sepak tempatan memberi sokongan penuh terhadap agenda yang ingin dilaksanakan FAM.

Katanya, FAM akan berjumpa dengan dua pihak berkepentingan iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan KDN itu sendiri bagi melancarkan proses pengambilan pemain naturalisasi terbabit.

“Perlu bincang dengan MFL mana pemain ini (pemain naturalisasi) akan diletakkan dalam liga jika kita ambil mereka dan saya rasa tanpa kelulusan daripada KDN ia juga tidak akan berjaya,” katanya.

Mengulas mengenai hasil lawatannya ke Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari, katanya FAM akan bekerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meningkatkan kualiti yang ada di akademi itu pada masa kini.

Katanya, beberapa perkara seperti kemudahan latihan, kebajikan pemain serta aspek teknikal seperti sains sukan akan diperhalusi bagi memastikan pemain yang ada di akademi itu akan menjadi produk pelapis berkualiti pada sukan bola sepak negara.

Hamidin berkata, beliau juga sudah diberi taklimat mengenai program dan pelan latihan pemain bawah 17, 16, 15 ,14 dan 13 tahun di akademi itu yang akan menyertai beberapa kejohanan termasuk di Hong Kong (bawah 15) pada bulan ini dan di Qatar (bawah 15, 16, 17) pada Mei ini.

Berita Harian X