Rabu, 27 March 2019 | 6:23pm
TIMBALAN Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (tiga dari kanan) bersama Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon hadir pada majlis pelancaran Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar di Wisma MBSA, Shah Alam, hari ini. - Foto Faliq Lajim
TIMBALAN Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan (tiga dari kanan) bersama Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon hadir pada majlis pelancaran Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar di Wisma MBSA, Shah Alam, hari ini. - Foto Faliq Lajim

Tabung Legenda bantu Anuar Abu Bakar dilancar

SHAH ALAM: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini, melancarkan Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar, iaitu bekas pemain bola sepak Selangor dan kebangsaan, yang disahkan menghidap kanser hati tahap empat.

Tabung itu adalah inisiatif MBSA dengan kerjasama Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi membantu meringankan beban bekas pemain bola sepak negeri ini dari 1993 sehingga 1997.

Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd Rashidi Ruslan berkata, peminat bola sepak dikejutkan dengan berita mengenai Anuar yang disahkan menghidapi kanser.

“Oleh demikian, atau sumbangan beliau dalam arena bola sepak ini, MBSA melancarkan tabung untuk Anuar bagi meringankan beban beliau sepanjang tempoh rawatan.

“Di pihak MBSA, tabung ini akan diedarkan dalam program MBSA iaitu Earth Hour, Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan dan Tarik Tali Piala Datuk Bandar yang akan datang,” katanya dalam majlis pelancaran Tabung Lagenda Anuar Abu Bakar di Wisma MBSA, di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung FAS, Dr Johan Kamal Hamidon.

Dalam pada itu, Mohd Rashidi berkata, pihaknya tidak boleh mengulas lanjut berkenaan tahap kesihatan Anuar berikutan ia lebih berhak dibuat oleh keluarganya sendiri.

Sementara itu, Dr Johan berkata, pihaknya bersetuju untuk menyumbang RM1 daripada setiap tiket perlawanan antara Selangor menentang Terengganu pada 29 Mac, Perak (12 April) dan PKNP (21 April).

“Tabung ini juga akan diedarkan ketika perlawanan di Stadium Shah Alam. Mengikut perancangan, hasil kutipan itu akan diberikan kepada Anuar ketika Selangor menentang PKNP nanti.

“Kita terbuka kepada penyokong dan peminat bola sepak tegar di Selangor kepada keluarga Anuar Abu Bakar setimpal pengorbanannya ketika menyarung jersi merah kuning,” katanya.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Maybank isteri Anuar iaitu Siti Mariam Sathawee di 114348093007.

Media sebelum ini melaporkan Anuar menepis dakwaan sesetengah pihak bahawa beliau sudah nazak sehingga terlantar dan tidak boleh bergerak.

Beliau dimasukkan ke sebuah hospital dua minggu lalu sebelum menjalani pemeriksaan lanjut dan doktor mengesyaki kemungkinan menghidap kanser hati tahap empat.

Keadaannya beransur pulih sebelum doktor membenarkan untuk pulang ke rumah, sekali gus menolak dakwaan dan laporan media keadaannya tenat.

Berita Harian X