Isnin, 25 March 2019 | 8:03am
Kapten dan penyerang Belgium, Eden Hazard (tengah) cuba mengelicik pemain Cyprus, Kostakis Artymatas pada aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto REUTERS
Kapten dan penyerang Belgium, Eden Hazard (tengah) cuba mengelicik pemain Cyprus, Kostakis Artymatas pada aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto REUTERS

Belgium mudah atasi Cyprus

NICOSIA, Cyprus: Kapten, Eden Hazard mengharungi penampilan ke-100 bersama skuad Belgium dengan bergaya apabila meraih kemenangan 2-0 ke atas Cyprus pada aksi kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.

Lebih menggembirakan, pemain Chelsea itu meledak jaringan pembukaan pada minit ke-10 permainan berpunca daripada serangan yang dimulakan Michy Batshuayi.

Batshuayi yang kini bermain bersama kelab Inggeris, Crystal Palace menjaringkan gol kedua pelawat pada minit ke-18 selepas mendapat umpanan baik adik Hazard, Thorgan.

Penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois hampir langsung tidak diuji dengan pelawat menguasai kedua-dua babak permainan tetapi Konstantinos Laifis yang bermain untuk kelab Standard Liege di Belgium hampir membuat kejutan namun tandukannya berpunca daripada sepakan percuma menggegar palang.

Pemain Cyprus, Renato Joao Margaça (tengah) cuba menghalang pemain Belgium, Youri Tielemans (kanan) pada perlawanan kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto EPA
Pemain Cyprus, Renato Joao Margaça (tengah) cuba menghalang pemain Belgium, Youri Tielemans (kanan) pada perlawanan kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi. - Foto EPA

Cyprus sebelum ini menewaskan pasukan tercorot, San Marino 5-0 pada minggu lalu tetapi Belgium yang ketika ini menghuni ranking nombor satu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) jelas terlalu sukar buat mereka.

Sementara itu dalam satu lagi aksi Kumpulan I, Russia meraih kemenangan bergaya selepas membelasah Kazakhstan 4-0.

Denis Cheryshev menyumbat dua gol bermula pada minit ke-19 dan masa kecederaan babak pertama sebelum pelawat menambah dua lagi gol pada babak kedua menerusi Artem Dzyuba pada minit ke-52 dan gol sendiri Abzal Beysebekov (m62).

San Marino dalam pada itu dipalit kekalahan kedua apabila tewas 2-0 kepada Scotland di tempat sendiri dengan gol pelawat dijaringkan Kenny McLean seawal minit keempat dan Johnny Russell (m74). - AFP

Berita Harian X