Ahad, 17 March 2019 | 11:20pm
Pemain Malaysia, Muhamad Akhyar Abdul Rashid (kiri) menggelecek bola ketika berdepan dengan pemain Australia, Sebatian Pasquali pada perlawanan persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Skuad B-23 seri berdepan Australia

SHAH ALAM: Berbaki empat hari lagi ke pusingan Kelayakan Kejuaraan Bawah 23 Tahun (B-23) Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020, skuad negara tampak perlu terus bekerja keras dalam usaha merebut tiket automatik ke saingan terbabit.

Sekalipun berjaya mengikat skuad B-23 Australia 1-1 malam ini, jelas masih ada lagi kelemahan perlu diperbaiki skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menjelang sepak mula kelayakan Jumaat ini.

Positifnya, keputusan malam ini membuktikan semangat pemain negara yang tidak berputus asa meskipun ketinggalan sehingga berjaya mencetuskan kebangkitan dengan meledak gol penyamaan di hujung permainan.

Aksi bermula seimbang dengan kedua dua pasukan memperaga corak permainan berhati hati namun tindakan penjaga gol Malaysia, Haziq Nadzli yang beberapa kali lambat mengeluarkan bola hampir memberikan peluang kepada Australia meledak gol pembukaan.

Malaysia menghela nafas lega selepas nyaris dibolosi apabila Syamer Kutty Abba pantas mengeluarkan percubaan Joseph Champness di hadapan gawang gol selepas Haziq sudah tewas pada minit ke-24.


Penjaga gol Malaysia, Damien Lin Chien Khai menyelamatkan bola sepakan pemain Australia, Johnathan Koutroumbis pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Australia di Stadium Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Malaysia banyak mengancam menerusi bahagian sayap dan beroleh beberapa peluang. - NSTP/Roslin Mat Tahir

Malaysia banyak mengancam menerusi bahagian sayap dan beroleh beberapa peluang dengan peluang terbaik hadir pada minit ke-29 selepas bola ditepis Jordan Holmes tiba di kaki Akhyar Rashid namun rembatan pemain muda itu terlalu tinggi.

Australia sekali lagi gagal menyudahkan peluang selepas bola dikeluarkan Haziq selepas penjaga gol itu menggelecek pemain Australia ‘tersangkut’ dan percubaan Champness sedikit tersasar ke bahagian kanan pintu gol Malaysia.

Bersambung babak kedua, pemain gantian, Faisal Abdul Halim mencetus impak segera apabila gerakannya mengatasi pertahanan Australia sebelum Holmes cemerlang menafikan percubaan pemain itu pada minit ke-46.

Bagaimanapun, gawang Malaysia akhirnya bolos tiga minit kemudian apabila Brandon Wilson menanduk masuk sepakan sudut sekali gus menewaskan penjaga gol gantian, Damien Lim Chien Kai untuk gol pembukaan perlawanan.

Ketika Australia berada di ambang kemenangan, Nik Azli Nik Alias memastikan Malaysia menamatkan saingan tanpa kekalahan di tempat sendiri apabila meledak gol penyamaan di minit akhir perlawanan.

Berita Harian X