Isnin, 25 Februari 2019 | 12:02am

Jalan Rampai, Setapak meriah

KUALA LUMPUR: Bahang perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) antara dua seteru ketat, Manchester United dan Liverpool di Old Trafford, Manchester turut dirasai peminat kedua-dua kelab gergasi itu di beberapa lokasi di sekitar ibu negara malam ini.

Di Setapak, peminat tegar The Red Devils dan The Reds itu membanjiri sebuah restoran di Jalan Rampai bagi menyaksikan siaran langsung perlawanan berkenaan yang dipaparkan menerusi skrin gergasi pada Program Live Big Screen Bersama Nik Nazmi.

Program yang bermula kira-kira jam 9 malam dan diserikan dengan pelbagai aktiviti itu termasuk peraduan dianjurkan bersama Angkatan Pemuda Keadilan Setiawangsa. Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Ahli Parlimen Setiawangsa.

Nik Nazmi yang menjadi penyokong setia pasukan Liverpool ketika ditemui berharap pasukan kesayangannya itu itu dapat menundukkan United 3-2 pada aksi malam ini.

“Saya menyokong Liverpool sejak 90-an. Jadi saya harap malam ini Liverpool dapat menundukkan United 3-2. Bagi saya pasukan Liverpool kali ini lebih lebih seimbang di semua posisi,” katanya.

Nik Nazmi (duduk tengah) bersama penyokong yang hadir pada Program Live Big Screen Bersama Nik Nazmi di Setapak. - NSTP/Mahzir Mat Isa
Nik Nazmi (duduk tengah) bersama penyokong yang hadir pada Program Live Big Screen Bersama Nik Nazmi di Setapak. - NSTP/Mahzir Mat Isa

Dalam perkembangan sama, Nik Nazmi berharap program siaran tayangan skrin gergasi ini dapat membantu anak muda menonton perlawanan bola sepak dengan harmoni tanpa diganggu dengan perbezaan fahaman politik.

Seorang penyokong United, Azhar Azman ketika ditemui menaruh harapan tinggi pasukan kesayangannya itu dapat mengekalkan kedudukan empat terbaik untuk mara ke saingan Liga Juara-Juara, selepas ini.

“Saya rasa United kali ini agak kuat malah mampu ke Liga Juara-Juara kerana mempunyai jurulatih yang bagus,” katanya yang menyifatkan program berkenaan dapat mengumpulkan penduduk di sekitar Setiawangsa.

Berita Harian X