Jumaat, 22 Februari 2019 | 12:50pm
Leandro Velazquez.
Leandro Velazquez.

Ujian pertama Velazquez

 

JOHOR BAHRU: Apakah kehadiran semula Leandro Velazquez bakal menguatkan semula Johor Darul Ta'zim (JDT) bukan sahaja mengharungi kancah Liga Super malah saingan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Mungkin langkah pengurusan tertinggi kelab yang menjuarai liga lima musim berturut-turut itu adalah jalan terbaik ketika skuad Harimau Selatan tampak kurang menyengat di posisi tengah yang seakan-akan tidak bermaya pada tiga aksi saingan liga.

Walaupun dalam tempoh singkat menjalani latihan, Velazquez akan membuat penampilan pertama bersama JDT yang pernah disertainya pada musim 2015 apabila melayani Melaka United pada aksi liga di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, Larkin, malam esok.

Ia pasti menarik apabila Velazquez akan bertembung dengan Safiq Rahim dengan kedua-dua pemain itu pernah beraksi bersama dan membantu JDT menjulang kejuaraan Piala AFC pada musim 2015 namun kini akan `bermusuhan'.

Selepas kontrak bersama JDT ditamatkan pada 2015, bekas pemain Bawah 20 tahun Argentina itu kembali ke negara asalnya dan menyertai kelab Deportivo Pasto berpengkalan di Columbia selama dua musim pada 2016 dan 2017.

Kemudian, dia ke Mexico bagi menyertai kelab Tiburones Rojos de Veracruz sebelum dipinang semula JDT bagi mengganti Aaron Niguez yang digugurkan dalam skuad JDT selepas dikatakan kurang berkesan dalam tiga perlawanan diharungi.

Apa pun perubahan dilakukan JDT, ia dilihat sebagai rombakan untuk menguatkan semula pasukan itu dan pertembungan menentang Melaka menjadi perhatian penyokong Harimau Selatan sama ada tindakan itu wajar atau sebaliknya.

Mungkin Velazquez tidak kekok dengan falsafah bola sepak JDT memandangkan dia sudah beraksi bersama kelab itu dan tahu kehendak pengendali JDT, Luciano Figueroa yang pernah beraksi bersamanya pada musim 2015.

Kehadiran pemain kelahiran Buenos Aires, Argentina itu juga tepat pada masanya ketika JDT tampak kehilangan Natxo Insa yang masih mengalami kecederaan dan posisi tengah akan kembali seimbang apabila dia akan bergandingan bersama Hariss Harun.

Berita Harian X