Jumaat, 22 Februari 2019 | 7:58am
Penyerang Chelsea, Loiver Giroud (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Malmo pada Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto EPA
Penyerang Chelsea, Loiver Giroud (kanan) meraikan jaringan gol bersama rakan sepasukan ketika menentang Malmo pada Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto EPA

Liga Europa: Chelsea masih bernyawa

LONDON: Membawa bekalan 2-1 dari aksi pertama di Sweden, Chelsea terpaksa menunggu sehingga 10 minit selepas rehat untuk mengukuhkan kedudukan, apabila Olivier Giroud menolak masuk gol pembukaan dalam aksi timbal balik Liga Europa menentang Malmo di Stamford Bridge awal pagi tadi.

Ross Barkley menambah jaringan dengan sepakan percuma minit ke-74, selepas pemain Malmo Rasmus Bengtsson dibuang padang, sebelum bintang 18 tahun Chelsea, Callum Hudson-Odoi melengkapkan kemenangan 3-0 yang membawa Chelsea ke kelompok 16 terakhir Liga Europa.

“Pemain-pemain beraksi baik hari ini. Kami bekerja keras sepanjang permainan,” kata Hudson-Odoi yang berada dalam radar Bayern Munich pada jendela perpindah Januari.

“Gol yang hadir di akhir permainan adalah bonus kepada cara kami bermain.”

Pemain Emerson (tengah) diasak pemain Malmo, Rasmus Bengtsson pada aksi timbal balik Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto EPA
Pemain Emerson (tengah) diasak pemain Malmo, Rasmus Bengtsson pada aksi timbal balik Liga Europa, awal pagi tadi. - Foto EPA

Kemenangan agregat 5-1 itu bagaimanapun belum meredakan tekanan ke atas pengendalinya, Maurizio Sarri yang tempohnya bersama Chelsea semakin menemui penghujung.

Sama ada Sarri masih berada di tepi padang pada pusingan seterusnya hanya akan ditentukan selepas aksi final Piala Liga menentang Manchester City Ahad ini dan pertembungan Liga Perdana Inggeris dengan Tottenham pada Rabu.

City sebelum ini membelasah Chelsea 6-0 pada  10 Februari, kekalahan memalukan yang mencetus persoalan tentang masa depan Sarri di Stamford Bridge.

Sarri melakukan tujuh pertukaran ke atas skuad yang tewas 2-0 kepada Manchester United dalam saingan Piala FA Isnin lalu, dengan Cesar Azpilicueta, Antonio Rudiger, N’Golo Kante dan Mateo Kovacic dikekalkan.

Willy Caballero diberi peranan menjaga gawang menggantikan Kepa Arrizabalaga, yang mengalami masalah hamstring dan diragui sempat beraksi menentang City. – AGENSI

 

Berita Harian X