Selasa, 12 Februari 2019 | 12:50pm
JENTERA bomba ketika memadam kebakaran di kelab Flamengo, Jumaat lalu. Foto-Reuters

Dua pelatih nyaris lemas angkara kebakaran 

RIO DE JANEIRO: Satu kebakaran merosakkan pusat latihan yang digunakan kelab bola sepak Rio de Janeiro di sini semalam menyebabkan dua pelatihnya dikejarkan ke hospital angkara terhidu asap tetapi disahkan tidak mengalami kecederaan serius.

Insiden kebakaran itu berlaku selang 10 hari kejadian menimpa pusat latihan kelab Flamengo yang mengorbankan 10 pelatih remajanya dan tiga lagi melecur.

Kebakaran di pusat latihan di Bangu itu, satu daripada berpuluh kompleks latihan tertua dan uzur yang terdapat di Rio dikatakan berlaku selepas makan tengah hari.

Api berjaya dikawal daripada merebak tetapi dua pemain bola sepak dikejarkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas dipercayai terhidu kesan asap.

Bagaimanapun, pemilik kompleks latihan Bangu itu tidak dapat dihubungi untuk pengesahan namun laporan TV Globo mendakwa kejadian berpunca daripada unit pendingin hawanya.

Kes sama menimpa pusat latihan Ninho do Urubu, minggu lalu.

Laporan media Brazil mendakwa kelab Flamengo tidak mendapat kelulusan membina bangunan tambahan untuk penginapan sementara bagi pelatih yang dijilat api itu.

Kejadian terbaru itu mengejutkan banyak pihak ketika mereka hadir ke majlis pengkebumian lima lagi remaja yang maut dalam tragedi yang menimpa pusat latihan Ninho do Urubu itu.

Semua mangsa berusia antara 14 hingga 16 tahun yang menyertai pusat latihan Flamengo itu demi mencapai impian menjadi pemain bola sepak porfesional. – Reuters 

Berita Harian X