Khamis, 24 Januari 2019 | 8:29am
Pemain Barcelona, Arthur (kanan) berdepan dengan pemain Sevilla, Ibrahim Amadou (dua dari kiri) dan Pablo Sarabia dalam aksi Piala Raja Sepanyol di Seville. - Foto Reuters
Pemain Barcelona, Arthur (kanan) berdepan dengan pemain Sevilla, Ibrahim Amadou (dua dari kiri) dan Pablo Sarabia dalam aksi Piala Raja Sepanyol di Seville. - Foto Reuters

Sevilla kejutkan Barcelona

SEVILLE: Barcelona berdepan tugas menggunung untuk menjulang gelaran kelima berturut-turut Piala Raja Sepanyol selepas tewas 0-2 kepada Sevilla pada aksi suku akhir pertama, awal pagi tadi.

Lionel Messi direhatkan manakala Luis Suarez ditinggalkan di bangku simpanan bagi memberi peluang buat Kevin-Prince Boateng mengharungi penampilan sulung untuk Barca dalam perlawanan yang menyaksikan Sevilla mungkin kecewa tidak menjaringkan lebih gol.

Kedua-dua gol Sevilla di Ramon Sanchez Pizjuan dijaringkan pada babak kedua menerusi Pablo Sarabia dan Wissam Ben Yedder yang meninggalkan pelawat tugasan sukar bagi mengharungi aksi kedua, minggu depan.

“Kami mengharungi permainan yang hebat, sedikit mengecewakan ia tidak melengkapkan perlawanan,” kata jurulatih Sevilla, Pablo Machin. “Di Barcelona, apa saja boleh berlaku. Mereka boleh mengubahnya menjadi kekalahan yang lebih teruk berbanding ini.”

Ben Yedder meraikan jaringannya dengan mendedahkan baju yang bertulis sokongan terhadap penyerang Argentina, Emiliano Sala, pemain yang dikhuatiri maut dalam kemalangan kapal terbang ketika menuju ke kelab baharunya, Cardiff City di Wales.

Barcelona sebelum ini membelasah Sevilla 5-0 pada aksi final musim lalu dengan bekas pemain Andres Iniesta menampilkan magisnya pada aksi terakhirnya bersama kelab berkenaan.

Begitupun, memenangi gelaran domestik berganda jelas tidak mengubat kekecewaan Barca yang tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara dengan pengurus, Ernesto Valverde tampak jelas tidak mahu situasi sama berulang pada musim ini.

Selain Messi, Valverde turut menyimpan Sergio Busquets dengan Suarez, Philippe Coutinho dan Jordi Alba dimasukkan sebagai pemain gantian pada babak kedua.

“Saya fikir ia adalah yang terbaik,” kata Valverde. “Tetapi apabila kamu melakukan perubahan kamu perlu mengambil risiko.” - AFP 

Berita Harian X