Sabtu, 5 Januari 2019 | 6:01pm
Pemain Thailand, Teerasil Dangda. - Foto AFP

Thailand teruja lawan India - Rajevac

DUBAI: Thailand sudah melupakan kekalahan mengejut pada aksi pemanas badan menjelang Piala Asia 2019 ketika membuka kempen di sini menentang India, esok.

Kekalahan juara Asia Tenggara itu kepada Oman 0-2 di Stadium Kriket Abu Dhabi, Rabu lalu dianggap sebagai mengejutkan selepas mereka menyenaraikan tiga tonggak utama di atas padang.

Di sebalik kehadiran Teerasil Dangda, Chanathip Songkrasin dan Theerathon Bunmathan, pasukan yang dikenali sebagai Gajah Perang itu tampak longlai apabila Oman menjaringkan gol dalam kedua-dua babak permainan.

Jurulatih Thailand, Milovan Rajevac melihat kekalahan berkenaan dari sudut positif dan ia memberikannya peluang untuk menilai kesemua 23 pemainnya menjelang aksi pembukaan, esok.

“Kami membahagikan mereka kepada dua kumpulan dan semua memperoleh peluang untuk bersaing,” kata Rajevac. “Saya kagum dengan beberapa peluang menjaringkan gol yang kami cipta menurut pelan permainan kami tetapi kami gagal menyempurnakannya.

“Saya juga sudah menyenaraikan kelemahan pemain dalam perjumpaan kami. Kami perlu melupakan perlawanan berkenaan (menentang Oman) untuk memberi tumpuan kepada perlawanan pada Ahad ini (esok).

“Kami akan melakukan apa saja untuk memulakan kejohanan ini dengan keputusan yang baik.”

Selain India dan Thailand, Kumpulan A turut diisi tuan rumah Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain. - Agensi

1422 dibaca
Berita Harian X