Sabtu, 8 Disember 2018 | 11:46pm
PETER berjanji akan menyelesaikan isu gaji pemain skuad badak yang tertunggak. - NSTP/Ryan Stanley
PETER berjanji akan menyelesaikan isu gaji pemain skuad badak yang tertunggak. - NSTP/Ryan Stanley

SAFA akan bayar tunggakan gaji sebelum Krismas

KENINGAU: Bakal Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Peter Anthony berjanji akan menyelesaikan isu gaji pemain skuad badak yang tertunggak lima bulan, sebelum perayaan Krismas ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata, antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan segera apabila menjadi presiden ialah menyelesaikan isu gaji pemain.

"Saya difahamkan jumlahnya kira-kira RM6 juta dan ini kita perlu selesaikan segera kerana pemain juga perlukan duit untuk kehidupan seharian mereka.

“Saya yakin ia akan diselesaikan sebelum Krismas ini," katanya yang akan menggantikan Alijus Sipil yang meletak jawatan sebagai presiden persatuan itu, baru-baru ini.

Beliau berkata demikan kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Liga Bolasepak Kadazandusun dan Murut (KDM) Malaysia, di sini.

Liga itu dianjurkan bersama Pertubuhan KDM Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah, yang disertai 32 pasukan dari seluruh negeri.

Mengulas lanjut, katanya penyelesaian tunggakan itu termasuklah gaji pemain, cukai pendapatan, caruman ke Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Kita akan selesaikan perkara ini (hutang) demi untuk martabat negeri ini (Sabah)," katanya.

Sehubungan itu, katanya beliau akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk tujuan mencari mekanisme penambahbaikan pengurusan persatuan itu.

Mengulas mengenai perlantikan sebagai peneraju SAFA, katanya Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sudah memberi mandat kepadanya walaupun sebelum ini beliau merasakan tugas yang diberikan itu sesuatu yang berat.

"Memang sebelum ini selepas Alijus meletak jawatan, ada beberapa calon dinamakan termasuk saya dan sebelum ini saya tidak nafikan ia satu tanggungjawab besar, namun saya menerimanya demi bola sepak negeri Sabah.

"Kita akan bertindak secepat mungkin termasuk melihat perlembagaan yang terkandung dalam SAFA serta Pesuruhjaya Sukan negeri dan sekiranya ia berjalan lancar, kita akan membentuk jawatankuasa yang baharu dengan segera," katanya.

Ketika ditanya mengenai persiapan pasukan utama Sabah bagi menghadapi Liga Malaysia musim depan, Peter berkata ia juga menjadi agenda utamanya untuk diselesaikan.

"Kita akan putuskan secepat mungkin termasuk kedudukan Jelius Ating sebagai ketua jurulatih, memang kita terlambat tetapi kita akan lakukan segala yang terbaik untuk mengatasinya supaya kita menjadi antara pencabar musim depan,” katanya.

Berita Harian X