Khamis, 6 Disember 2018 | 9:30pm
AFC hari ini menandatangani MoU  dengan UNODC bagi mempromosi integriti dan tadbir urus yang baik dalam sukan. - Ihsan laman web AFC
AFC hari ini menandatangani MoU  dengan UNODC bagi mempromosi integriti dan tadbir urus yang baik dalam sukan. - Ihsan laman web AFC

AFC meterai MoU perangi kegiatan atur perlawanan

KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU)  dengan Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) bagi mempromosi integriti dan tadbir urus yang baik dalam sukan.

Menurut kenyataan daripada AFC, MoU itu akan memberi fokus dalam menyokong pembinaan keupayaan, program latihan serta bertukar maklumat dan kepakaran antara kedua-dua organisasi berkenaan.

“MoU ini satu lagi babak penting dalam usaha berterusan bagi memelihara nama baik dan integriti sukan kita,” kata Setiausaha Agung AFC Datuk Paul Windsor John.

Beliau berkata AFC dan UNODC akan bekerjasama memerangi gejala memanipulasi perlawanan dan membendung sukan berkenaan daripada sebarang bentuk rasuah serta membangunkan rangkaian risikan lebih baik bagi memantau mereka yang mahu merosakkan sukan tersebut.

“Kita akan menggalakkan kerjasama, penyelarasan dan bertukar maklumat dalam menjalankan siasatan dan diharapkan membuat pendakwaan dalam kes rasuah dengan AFC dan UNODC akan berkongsi kepakaran tersebut.

“Kesemua ini di bawah bidang tadbir urus baik dan berintegriti, yang penting dalam pembangunan sukan berkenaan di Asia pada masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNODC, Yuri Fedotov berkata MoU itu bermakna mereka akan memperuntukkan lebih banyak masa bekerjasama memerangi rasuah dan sebarang tingkah laku negatif seperti kegiatan mengatur perlawanan.

“Dalam konteks umum, apa kita lakukan ini adalah bagi membendung jenayah dan orang muda daripada terlibat dengan kegiatan itu. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AFC atas sokongan mereka, dan kami berharap dapat bekerjasama,” katanya. – BERNAMA

Berita Harian X