Rabu, 5 Disember 2018 | 12:27pm
SHAHRIL Saari

Shahril, Danish dalam 'radar' TRW

KOTA BHARU: Bekas penjaga gol PKNS FC, Shahril Saari dan bekas pertahanan skuad Piala Presiden Negeri Sembilan, Danish Haziq Hisham kini dikhabarkan dalam 'radar' skuad Kelantan sebagai persiapan menghadapi musim Liga Malaysia 2019.

Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, Shahril bakal menggantikan tempat Faridzuean Kamaruddin manakala Danish Haziq mengambil alih posisi pertahanan ditinggalkan Ahmad Haziq Puad.

"Ya, memang kita berunding dengan kedua-dua pemain berkenaan sebelum ini, namun segala keputusan belum muktamad.

"Kedua-dua pemain itu baharu saja tamat kontrak dengan pasukan terdahulu pada 31 November dan tunggulah nanti saya sendiri akan memaklumkan perkembangan selanjutnya apabila segalanya muktamad," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Mengulas perkembangan calon pemain lain untuk skuad The Red Warriors (TRW), Bibi Ramjani berkata, urusan pemilihan pemain diserahkan sepenuhnya kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah walaupun KAFA ada calon pengganti untuk diketengahkan.

Untuk rekod, Shahril Saa'ri, 28, anak jati Kuala Terengganu yang juga bekas pemain pasukan Harimau Muda A (2012-2013), B-23 Kebangsaan (2011-2013) dan Sarawak (2015-2017) mempunyai reputasi dan pengalaman luas dalam kancah saingan Liga Malaysia dan pasukan kebangsaan.

Sementara itu, Danish Haziq, 22, yang juga bekas pemain skuad B-19 Kebangsaan juga berkemampuan mengisi kekosongan posisi pertahanan pasukan Kelantan musim depan.

Berita Harian X