Isnin, 12 November 2018 | 2:43pm
JURULATIH skuad futsal negara, Chiew Chun Yong. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor
JURULATIH skuad futsal negara, Chiew Chun Yong. - NSTP/Ahmad Irham Mohd Noor

'Kita hampir setaraf Thailand'

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad futsal negara, Chiew Chun Yong menyifatkan pasukannya kini hampir setaraf dengan Thailand walaupun tewas 4-2 kepada negara jiran itu pada final Kejohanan AFF di Yogyakarta, Indonesia semalam.

Chun Yong berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan persembahan barisan pemainnya sepanjang kejohanan.

"Ya, kita hampir setaraf dengan Thailand sekarang tapi pemain saya masih memerlukan pendedahan di peringkat antarabangsa untuk tampil dengan persembahan lebih baik.

"Ia dalam perancangan saya dan barisan kejurulatihan sedang berusaha untuk membangunkan lebih ramai pemain berkualiti," katanya kepada NSTP semalam.

Kekalahan semalam turut menyaksikan anak buah Chun Yong gagal membalas dendam kekalahan 4-3 di pentas final edisi lalu di tangan lawan sama yang turut menafikan pingat emas Malaysia pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Malah, penantian Malaysia untuk merangkul kejuaraan itu berterusan dengan mereka perlu berpuas hati apabila meraih gelaran naib juara buat kali kedua berturut-turut.

Mengulas lanjut mengenai persembahan anak buahnya, Chun Yong berkata kejayaan mara ke final pada edisi kali ini juga sudah cukup untuk membanggakan terutama menyingkirkan Vietnam di separuh akhir.

"Vietnam berada di ranking lebih tinggi dan melakukan persiapan lebih baik tapi kami berjaya mara ke final. Berdepan Thailand juga kami mampu memberi saingan yang sengit.

"Apa pun saya akan bekerja dengan barisan pemain utama dan merangka pelan terbaik untuk menghadapi cabaran pada kejohanan akan datang," katanya.

Berita Harian X