Sabtu, 10 November 2018 | 5:38pm
SEPANG 30 JANUARI 2018. Ketua Jurulatih Futsal Lelaki Kebangsaan, Chiew Chun Yong sebelum berlepas ke Taipei untuk menyertai Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.
SEPANG 30 JANUARI 2018. Ketua Jurulatih Futsal Lelaki Kebangsaan, Chiew Chun Yong sebelum berlepas ke Taipei untuk menyertai Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). NSTP/AHMAD IRHAM MOHD NOOR.

Chun Yong rangka strategi perangkap Thailand

KUALA LUMPUR: Meskipun Thailand gah dengan status selaku gergasi Asia Tenggara, Malaysia dilihat memiliki 'ramuan' tersendiri untuk mengecewakan juara bertahan itu pada aksi final Kejuaraan Futsal AFF di Gelanggang Olahraga (GOR) Universitas Negeri Yogyakarta, esok.

Menurut pengendalinya Chiew Chun Yong, tahap dan ranking lebih tinggi skuad Gajah Perang (18) berbanding skuad negara (52), memaksanya untuk tampil dengan taktikal lebih kemas dan berbeza berbanding dengan apa yang sudah ditunjukkan sebelum ini.

"Saya perlu melakukan persediaan lebih rapi dan menggunakan strategi jauh lebih kemas untuk mengejutkan mereka. Pemain saya begitu bermotivasi tinggi untuk bertemu mereka selepas menunjukkan semangat tidak mudah menyerah kalah pada aksi separuh akhir semalam,” kata Chun Yong.

"Secara teknikal dan pengalaman, sememangnya Thailand memiliki kelebihan kerana mereka sudah beraksi di pentas lebih tinggi iaitu Piala Dunia. Namun dengan taktikal dan strategi yang betul, saya optimis kita mampu menewaskan Thailand."

Terdahulu, skuad negara menempah tiket ke final buat kali kedua berturut-turut apabila menundukkan Vietnam 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti susulan terikat 2-2 selepas masa tambahan untuk bertemu Thailand yang menewaskan tuan rumah, Indonesia 3-2 selepas masa tambahan.

Pertembungan ini sekali gus mengulangi aksi final edisi 2017 di Vietnam yang menyaksikan Thailand mengecewakan skuad negara menerusi kemenangan tipis 4-3 selepas masa tambahan untuk menambah kejuaraan buat kali ke-13.

Mengulas mengenai aksi ulangan final itu, bekas pemain kebangsaan itu menyifatkan ia sebagai satu peluang yang terbaik untuk 'melunaskan' dendam sekali gus menebus kekecewaan edisi tahun lalu.

"Saya sudah katakan kepada pemain saya bahawa inilah masanya yang terbaik untuk mencipta sejarah menjulang gelaran ini. Kita hberjaya memberi saingan sengit ke atas Thailand dan hampir memenanginya tahun lalu .

"Apa yang penting, pemain dapat mengikuti arahan dan perancangan yang sudah disusun. Kekuatan mental juga akan memainkan peranan yang penting khususnya apabila berdepan pasukan seperti Thailand," katanya.

Untuk rekod, Malaysia masih memburu gelaran sulung Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) selepas sekadar meraih gelaran naib juara dalam empat edisi (2003, 2005, 2010, 2017).

Berita Harian X