Jumaat, 9 November 2018 | 4:08pm
CALON Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamarudin Jaffar. - Foto Mohd Yusni Ariffin
CALON Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamarudin Jaffar. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Kamarudin optimis bantu KLFA

KUALA LUMPUR: Calon Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Datuk Kamarudin Jaffar menegaskan hasratnya untuk menyumbang sesuatu kepada pembangunan sukan itu menyebabkan beliau terdorong untuk bertanding pada Kongres KLFA, 18 November ini.

Kamarudin yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu menjelaskan beliau mahu membabitkan diri dalam sukan kerana percaya mampu membantu perkembangan bola sepak menerusi platform KLFA.

"Sebagai wakil rakyat baharu, saya perlu memberikan sumbangan dan memainkan peranan yang meliputi pelbagai bidang. Pembangunan anak muda dan remaja di ibu kota seperti Kuala Lumpur amat perlu untuk diberikan tumpuan.

"Oleh kerana kebetulan Kongres KLFA hanya empat bulan selepas saya menjadi wakil rakyat, saya gembira apabila mendapat tawaran untuk berkecimpung dalam bidang sukan yang saya anggap sebagai sebahagian daripada tanggungjawab yang boleh dilakukan secara positif.

"Berbekalkan pengetahuan sedia ada dan kerjasama pelbagai pihak, saya mahu membantu untuk membina industri sukan yang boleh memberi lebih banyak ruang kepada anak muda dan remaja menerusi peranan saya dalam KLFA," katanya.

Selain Timbalan Menteri Pengangkutan itu, satu lagi individu yang turut dicalonkan bagi dua kerusi Timbalan Presiden KLFA adalah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Mengulas lanjut saranan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menasihatkan ahli politik supaya tidak memegang jawatan dalam sukan, Kamarudin menegaskan tiada apa yang perlu dibimbangkan asalkan tidak ada berlakunya penyalahgunaan kuasa ketika memegang tampuk kepemimpinan.

"Situasi ini bukan baharu dan pernah dibangkitkan sebelum ini. Namun pada saya, apa yang penting kita melihat peranan ahli politik sebagai pemimpin masyarakat yang perlu menyumbang kepada bidang sukan.

"Saya fikir ia harus diiktiraf dan dihormati. Apa yang dibimbangkan adalah jika ada penyalahgunaan kuasa yang sudah tentu mendorong kepada penyelewengan.

"Saya berpendapat asalkan ada disiplin dalam kalangan ahli politik dan kekal dengan tujuan asal kita berada dalam sukan, ia tidak salah," katanya.

 

Berita Harian X