Isnin, 5 November 2018 | 5:15pm
NIK Nazmi Nik Ahmad. NSTP/Asyraf Hamzah
NIK Nazmi Nik Ahmad. NSTP/Asyraf Hamzah

Pilih saya, Adnan - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berharap ahli gabungan Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mengekalkan Datuk Seri Adnan Md Ikhsan sebagai presiden persatuan itu.

Beliau turut meminta semua ahli gabungan memilih dirinya sebagai timbalan presiden bagi memastikan gandingan mantap dapat dibentuk bersama Adnan untuk memacu KLFA.

 

Beliau menjelaskan akan berusaha membentuk kerjasama erat dan strategik dengan semua pihak bagi merealisasikan impian untuk mengangkat martabat skuad The City Boys.

“Meskipun bertanding selaku orang nombor dua KLFA, saya dengan teguh hati percaya bahawa idea yang sudah saya utarakan dalam kenyataan sebelum ini dapat diteruskan dan direalisasikan, demi kepentingan, kelangsungan serta kemajuan KLFA.

“Saya juga menghargai peranan yang dimainkan Datuk Seri Adnan dalam membawa skuad Kuala Lumpur ke saingan Liga Super, selepas kali terakhir layak pada tahun 2012,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada asalnya, Nik Nazmi menawarkan diri untuk mencabar jawatan presiden sebelum akhirnya membuat keputusan untuk hanya  bertanding merebut jawatan nombor dua badan induk itu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira pandangan serta pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk Adnan sendiri.

“Sudah tentu, antara faktor utama keputusan ini dibuat pastilah bagi membolehkan saya menimba pengalaman dalam menguruskan persatuan,” katanya.

Laluan Adnan untuk terus menerajui persatuan itu dilihat kian cerah kerana beliau kemungkinan berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang turut berminat dengan jawatan terbabit.

Bagi jawatan timbalan presiden yang menawarkan dua kerusi, ketika ini hanya Nik Nazmi dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar menjadi calon yang berminat untuk bertanding mengisi jawatan berkenaan.

Berita Harian X