Ahad, 4 November 2018 | 4:19pm
GAMBAR fail, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad . - Foto Muhaizan Yahya
GAMBAR fail, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad . - Foto Muhaizan Yahya

Nik Nazmi tidak cabar Presiden KLFA

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang sebelum ini mahu mencabar jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) akhirnya membuat keputusan untuk tidak bertanding merebut kerusi nombor satu itu.

Situasi ini sekaligus menyaksikan laluan penyandang Datuk Seri Adnan Md Ikhsan untuk terus menerajui persatuan itu dilihat kian cerah kerana beliau berkemungkinan berdepan pertembungan satu lawan satu dengan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang turut berminat dengan jawatan terbabit.

Perkembangan itu diumumkan Adnan sendiri dalam satu sidang media di Stadium Bolasepak KLFA, Cheras malam tadi.

“Hasrat calon untuk bertanding sememangnya menjadi adat terutama bagi pertandingan terbuka seperti ini. Beberapa hari lalu, kita dimaklumkan ada tiga calon yang berminat bertanding untuk jawatan presiden.

“Namun, wujud perkembangan terbaharu selepas kami berjumpa dengan Nik Nazmi dan beliau bersetuju untuk bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden.

“Selain Nik Nazmi, seorang lagi ahli Parlimen turut dicalonkan bagi jawatan Timbalan Presiden iaitu Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar.

“Jadi, kami gembira untuk menerima pencalonan dua tokoh ini yang diyakini mampu membantu kami untuk menyemarakkan lagi perkembangan bola sepak di KLFA,” katanya.

Jawatan Timbalan Presiden KLFA mempunyai dua kerusi dengan setakat ini, Nik Nazmi dan Kamarudin menjadi dua calon berminat.

Salah seorang penyandang sedia ada, Datuk Astaman Abdul Aziz mengambil keputusan tidak mempertahankan jawatan.

Bagaimanapun, Adnan mengakui situasi satu lawan satu yang membabitkan jawatan presiden itu bukan laluan mudah kerana keputusan terletak di tangan 31 ahli gabungan yang membuat pencalonan dan melakukan undian.

“Saya tidak tahu sama ada laluan mudah atau tidak kerana segala-galanya bergantung kepada ahli gabungan. Selama empat tahun menerajui KLFA, itu yang mampu saya lakukan.

”Tapi saya kini lebih yakin untuk berada di KLFA berdasarkan pengalaman itu dan saya akui banyak lagi penambahbaikan yang boleh dilakukan,” katanya.

 

Berita Harian X