Sabtu, 3 November 2018 | 5:11pm
CHIEW Chun Yong
CHIEW Chun Yong

Ketumpulan penyudah gusarkan Chun Yong

KUALA LUMPUR: Ketumpulan penyudah menjadi masalah utama buat skuad futsal lelaki ketika ini menjelang sepak mula Kejuaraan Futsal AFF 2018 yang akan berlangsung di Indonesia, Isnin ini.

Jurulatihnya, Chiew Chun Yong mengakui gusar dengan masalah terbabit dan menggesa anak buahnya supaya memperkemas aspek terbabit dalam usaha merebut tiket ke separuh akhir.

“Bukan saja aspek pertahanan tapi kita perlu menambahbaik aspek penyudah kerana itu kelemahan ketara kita sepanjang persiapan ke kejohanan itu.

“Kita mencipta banyak peluang tapi gagal disudahkan dengan baik. Itu yang menjadi kerisauan namun bagi aspek kepantasan dan kecergasan, semuanya berada pada tahap memuaskan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas lanjut pemilihan skuad kali ini, Chun Yong menjelaskan tiada perbezaan besar berbanding edisi sebelumnya meskipun beberapa pemain baharu dibawa masuk bagi kempen kali ini.

“Hanya adas perubahan kecil perlu dilakukan dan saya harapkan pemain baharu dapat menyesuaikan diri dengan corak permainan pantas yang akan ditampilkan nanti.

“Saingan di peringkat kumpulan ini agak sukar kerana kita perlu menundukkan tuan rumah, Indonesia dan juga Myanmar untuk menjadi dua pasukan terbaik sekali gus ke separuh akhir,” katanya.

Malaysia akan membuka kempen bertemu Kemboja sebelum bertemu Indonesia (Selasa) dan aksi terakhir peringkat kumpulan menentang Myanmar (Rabu).

Pada edisi 2017, Malaysia muncul naib juara apabila terpaksa akur tumbang 3-4 selepas masa tambahan kepada Thailand pada aksi di Vietnam.

Malaysia belum pernah menjadi juara dengan pencapaian terbaik adalah merangkul gelaran naib juara dalam empat edisi pada 2003, 2005, 2010 dan 2017.

 

Berita Harian X