Khamis, 1 November 2018 | 8:57pm
DATUK Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (tengah) - Foto AZHAR RAMLI
DATUK Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie (tengah) - Foto AZHAR RAMLI

Ambil iktibar PFA

KANGAR: Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) harus mengambil iktibar daripada sejarah hitam yang berlaku ke atas Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) kerana menerima ahli politik menerajui persatuan negeri.

Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie berkata, beliau tidak berniat untuk mempersoalkan kredibiliti mana-mana pihak dalam merebut jawatan Presiden KLFA.

Namun sejarah membuktikan pasti ada isu yang timbul sekiranya ahli politik memegang jawatan nombor satu dalam mana-mana badan sukan, katanya.

“Saya tidak nafikan ada pasukan dan persatuan yang berjaya di bawah pimpinan ahli politik, tapi banyak juga yang gagal.

“Mereka meninggalkan hutang yang banyak hingga tiada pihak yang berani mengambil alih pentadbiran selepas ahli politik ini meninggalkan dunia bola sepak. Perkara sama terjadi kepada PFA,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyarankan pemimpin politik terutama Ahli Parlimen supaya tidak menerima pelantikan mengetuai persatuan sukan.

Ini berikutan perebutan jawatan Presiden KLFA yang didominasi ahli politik iaitu Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon.

Berita Harian X