Khamis, 1 November 2018 | 4:31pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan CEO MDEC, Datuk Yasmin Mahmood menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPD, Rafiq Razali (kiri) dan CEO Kitamen, Hazman Hassan (kanan) di Nexus, Bangsar South. - Foto Saddam Yusoff
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan CEO MDEC, Datuk Yasmin Mahmood menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MPD, Rafiq Razali (kiri) dan CEO Kitamen, Hazman Hassan (kanan) di Nexus, Bangsar South. - Foto Saddam Yusoff

2 tapak dikenalpasti bina stadium e-Sports

KUALA LUMPUR: Ketika dilantik Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman meletakkan pelaksanaan stadium e-Sport (sukan elektronik) sebagai sebahagian daripada manifesto dan kini beliau sudah mengenal pasti dua tapak untuk membinanya.

September lalu, Syed Saddiq mengeluarkan kenyataan bahawa Stadium Jalan Raja Muda di Kampung Baru sebagai hab yang berpotensi dan terbaru syarikat tambang rendah Malaysia, AirAsia memaklumkan kesediaan mereka untuk membina e-Sport Arena pertama Malaysia di Klang.

“AirAsia melakukan satu tugas yang luar biasa, mereka akan mulakan pembangunan (e-Sports Arena) di Klang dan anda akan dapat lihat perkembangan yang berlaku.

“Menjadi menteri muda dalam Kabinet, saya akan menjadi jambatan penghubung yang berjuang untuk membangunkan industri ini,” katanya selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Media Prima Digital (MPD) dan Kitamen semalam.

Beliau bagaimanapun memaklumkan bahawa stadium berkenaan tidak akan dikendalikan oleh kementeriannya namun akan melantik badan swasta untuk menguruskannya.

“Saya terbabit dalam perbincangan pembangunannya dan saya tidak mahu dikatakan ‘syok sendiri’, jadi saya akan mencari mereka yang terbaik untuk mengendalikannya.

“Saya mahu ia industri ini ditadbir dengan baik dan saya sudah mengadakan perbincangan singkat bersama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Datuk Yasmin Mahmood dan mereka mempunyai jaringan dengan pemain dalam industri ini, jadi kita mahu mereka mengendalikannya, dan kami akan menyediakannya jalannya,” katanya.

Sementara itu, sebagai penyokong sukan e-Sports di Malaysia, Syed Saddiq juga memaklumkan bahawa sukan itu bakal menawarkan sekurang-kurang tiga pingat emas pada temasya Sukan SEA 2019 di Filipina.

“Kami sedang berusaha untuk melobi sukan ini dipertandingkan bukan sekadar sukan pertunjukan tapi sukan yang menawarkan pingat dan kami dimaklumkan baru-baru ini bahawa ia akan dimasukkan dalam senarai pungutan pingat.

“Kami sedang berusaha memastikan ia turut disenaraikan bukan hanya untuk Sukan SEA tapi Sukan Asia dan Komanwel serta Olimpik kerana ramai anak muda ketika ini mengikuti perkembangan e-Sports.

Mereka sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang besar, mengorbankan masa dan usaha untuk terbabit dalam sukan ini dan jika kita tidak berusaha menyediakan plaform terbaik, peluang sekali seumur hidup mungkin akan terlepas,” katanya.

Berita Harian X