Selasa, 30 Oktober 2018 | 1:41pm
SMK Bukit Indah muncul juara Liga 100Plus-Piala Menteri Pendidikan Bawah 14.

Bukit Indah, Presint 14 muncul juara

GAMBANG: Aksi final Liga 100PLUS-Piala Menteri Pendidikan Bawah 14 tahun menyaksikan SMK Bukit Indah – yang juga merupakan akademi Johor Darul Ta’zim FC - muncul juara selepas melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) Bawah 13 tahun di Akademi Mokhtar Dahari, Gambang.

Beraksi di gelanggang lawan, skuad kendalian Javier Sorda Rivera mendominasi permainan dan mencipta beberapa peluang untuk membuka jaringan namun gagal disudahkan.

Ketika aksi seakan menuju ke masa tambahan, pemain gantian, Muhd Wafiq Mohd Saiby memecah kebuntuan apabila melepaskan rembatan dari luar kotak penalti di minit ke-67 sekali gus memastikan kejuaraan milik SMK Bukit Indah.

“Kami mempunyai dua atau tiga peluang terbaik pada separuh masa pertama. Kami gagal menjaringkan gol tetapi penjaga gol kami juga beraksi cemerlang,” kata ketua jurulatih SMK Bukit Indah, Javier Sorda Rivera.

“Bagi saya NFDP (SSMP B13) beraksi cemerlang pada 15 minit pertama separuh masa kedua dan mengubah corak permainan tetapi Wafiq berjaya menjaringkan gol yang baik.”

Untuk rekod, SMK Bukit Indah menamatkan saingan Liga KPM 2018 di tangga ketiga.

Sementara itu, SMK Presint 14 (1) – akademi Felda - mengesahkan status selaku juara Liga Piala Remaja KPM-FAM bawah 17 tahun selepas turut melakar kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Za’ba.

Muhd Zaidi Abdul Hamid muncul wira SMK Presint 14 (1) apabila menjaringkan gol dalam masa kecederaan susulan sepakan percuma rakan sepasukan.

Kemenangan ini menyaksikan skuad kendalian Mazwan Abd Mansor meraih kejuaraaan berganda selepas muncul juara Liga Perdana musim ini.

"Kali ini, Akademi Felda benar benar menunjukkan kemampuan mereka dan ia satu kejayaan besar kerana pemain-pemain ini terdiri daripada anak warga Felda," kata pengurus pasukan, Nik Hasrul Mohd Zainuddin.

"Mereka menunjukkan komitmen dan jati diri yang tinggi sejak awal musim sehinggalah kemuncaknya pada perlawanan final. Malah kejayaan memenangi Liga Perdana dan akan beraksi di Liga Super musim depan merupakan titik semangat untuk pemain pemain."

KEPUTUSAN PERLAWANAN

LIGA PIALA MENTERI PENDIDIKAN BAWAH 14 TAHUN

SMK Bukit Indah         1

SSMP B13                  0

LIGA PIALA REMAJA KPM - FAM BAWAH 17 TAHUN

SMK Presint 14 (1)       1

SMK Za'ba                  0

 

Berita Harian X