Isnin, 29 Oktober 2018 | 8:51pm
RASHID menawarkan diri bertanding jawatan Presiden KLFA. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
RASHID menawarkan diri bertanding jawatan Presiden KLFA. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Rashid tawar diri pimpin KLFA

KUALA LUMPUR: Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).  

Katanya, minat mendalam mendorongnya menawarkan diri untuk bertanding, malah pernah mewakili pasukan Selangor ketika menuntut di Maktab Tentera Diraja (MTD).  

"Saya berazam mendapatkan khidmat pemain veteran bagi membantu memperkasakan pembangunan KLFA.  

"Selain itu, saya ingin mencari pemain muda sebagai pelapis untuk dijadikan pemain utama dalam pasukan.  

"Pengalaman membantu pasukan Pulau Pinang menjulang Piala Emas Raja-Raja selepas 15 tahun tidak menang pada tahun lalu, pasti dapat membantu meningkatkan kejayaan kelab," katanya di Lobi Parlimen, dekat sini, hari ini.   

Pemilihan jawatan presiden akan berlangsung dalam tempoh dua minggu dan sebanyak 36 daripada 65 persatuan di bawah KLFA layak mengundi.  

Mengulas lanjut, Rashid yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat memberi jaminan, tanggungjawab yang bakal dipikul tidak akan menjejaskan tugasnya.  

"Tugas Presiden merangkumi dalam dan luar padang malah ketua perlu memahami cabaran yang dihadapi pemain.  

"Ketua juga perlu membantu mengurus atur aset bagi mendapatkan dana," katanya.   

Sementara itu, Rashid turut berbesar hati menjadi penasihat pasukan bola sepak kakitangan Parlimen.  

Katanya, pasukan terbabit bukan sahaja hebat malah baru memenangi pertandingan futsal peringkat Jabatan Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu.

Berita Harian X