Khamis, 18 Oktober 2018 | 10:45pm
GONZALO Higuain. - Foto fail AFP
GONZALO Higuain. - Foto fail AFP

Juve 'paksa' saya keluar - Higuain

MILAN: Penyerang AC Milan, Gonzalo Higuain mendedahkan dia dilayan dengan baik oleh Juventus sebelum kelab Itali itu memaksanya meninggalkan kelab iu bagi memberi ruang kepada Cristiano Ronaldo.

Higuain berpindah ke Milan secara pinjaman Ogos lalu selepas menghabiskan dua musim bersama Juventus dan menang dua gelaran Serie A serta Piala Itali selain meledak 55 gol dalam 105 perlawanan kompetitif.

Pemain Argentina itu berkata, keputusan untuk meninggalkan kelab itu bukan diputuskan olehnya dan ia hadir sejurus Juventus menandatangani pemain terbaik dunia lima kali, Ronaldo dari Real Madrid.

Higuain memberitahu akhbar Gazzetta dello Sport, dia sudah menghidu perkara itu lebih awal dan berasa sedikit aneh apabila ditinggalkan di bangku simpanan bagi final Piala Itali menentang Milan, Mei lalu.

“Hari itu, saya dapat berasakan sesuatu mungkin sudah berlaku. Kemudian mereka mengikat Ronaldo,” kata Higuain.

“Keputusan untuk keluar bukan dibuat oleh saya. Saya memberikan segala-galanya untuk Juventus, saya menang beberapa gelaran sebelum kehadiran Cristiano.

“Kelab mahu saya meningkatkan kualiti dan memberitahu saya tidak boleh kekal dan mereka akan cuba mencari jalan penyelesaian. Penyelesaian terbaik adalah Milan.”

Begitupun, Higuain berkata, dia tidak menyimpan perasaan dendam.

“Saya tetap berasa disayangi kerana mereka melayan saya dengan amat baik,” katanya. “Rakan seperjuangan dan penyokong memberikan saya begitu banyak kasih sayang. Tapi mereka tidak meminta saya untuk pergi.

“Secara dasarnya, semua orang berkata seperti itu, mereka mengeluarkan saya.”

Higuain yang akan merasai pengalaman aksi tetangga pertama bertemu Inter Milan, Ahad ini sudah menjaringkan empat gol dalam sembilan penampilan bersama Milan. - Reuters

Berita Harian X