Sabtu, 6 Oktober 2018 | 9:15am

Giliran City aib Liverpool di Anfield?

KOLUM APA KATA EPL

MINGGU ini tumpuan perlawanan sudah pasti antara Liverpool dan Manchester City. Aksi yang dijangka panas lagi sengit ini bakal berlangsung di laman keramat skuad The Reds iaitu Anfield.

Seperti juga pengurusan kelab dan pemain, penyokong kedua-dua pasukan ini di seluruh dunia termasuk Malaysia sudah pasti mengharapkan keputusan menyebelahi mereka. Sama seperti minggu lalu, Liverpool tampil aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu ini dengan perasaan muram.

Kali ini duka itu angkara kelab Itali, Napoli yang mengejutkan mereka 0-1 pada aksi Liga Juara-Juara. Minggu lalu, hati anak buah Jurgen Klopp remuk dek penangan Chelsea pada saingan Piala Liga Inggeris. Namun mereka bangkit menyekat lawan sama dari melakukan onar apabila terikat 1-1 di Stamford Bridge aksi EPL.

Adakah sejarah sama berulang minggu ini atau The Reds bangkit? Seperti semua tahu, City kini mendominasi takhta EPL hanya dibezakan dengan Liverpool menerusi perbezaan gol selepas kedua-duanya terikat 19 mata.

Mengekori rapat di belakang selepas tujuh perlawanan setakat ini adalah Chelsea dengan perbezaan dua mata. The Blues berpeluang melonjak ke tangga kedua andai menang besar ke atas Southampton sambil mengharap keputusan aksi Liverpool-City terikat.

Kemenangan aksi Liga Europa menewaskan kelab Videoton kelmarin harus membakar motivasi anak Maurizio Sarri.

Bagi pertemuan dua seteru, Klopp dan Pep Guardiola ini, penulis jangkakan ia mampu diduga. Penyokong Liverpool mengharapkan kebangkitan, manakala City ingin teruskan prestasi cemerlang di Eropah dan liga.

Penulis percaya, City turun ke Anfield esok dengan perasaan membara. Mereka mahu melunaskan dendam disingkirkan lawannya pada aksi Liga Juara-Juara musim lalu. Sebelum itu, mereka juga dijinakkan oleh The Reds 3-4 pada aksi liga di Anfield pada Januari.

Dua kali tewas harus sukar dilupakan Guardiola biarpun pada September tahun lalu mereka berpesta gol di Etihad dengan lima gol tanpa balas aksi liga.

Musim lalu trio Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino 'meletop'. Tapi musim ini kurang menjadi sekali gus bakal memberi inspirasi buat Guardiola merangka pemusnahan di Anfield tatkala motivasi The Reds sedikit goyah angkara Napoli.

Penulis ramal aksi ini milik City. Sementara itu, kelab paling bergelora sejak beberapa minggu lalu, Manchester United seharusnya tiada masalah untuk bangkit apabila menyambut kunjungan Newcastle United.

Setakat ini The Red Devils tidak pernah menang dalam empat aksi terakhir di Old Trafford. Suasana itu kian panas dengan cerita kemungkinan Jose Mourinho hanya menunggu masa dipecat.

Andai kata, United tumbang kepada barisan Rafael Benitez, sudah pasti Old Trafford bakal digegarkan dengan gelora lebih besar. Selamat menonton.

Ramalan Minggu Ini:

• Burnley 2 Huddersfield 1

• Crystal Palace 1 Wolves 1

• Leicester 2 Everton 2

• Tottenham 3 Cardiff 1

• Watford 1 Bournemouth 1

• Man United 3 Newcastle 1

• Fulham 0 Arsenal 2

• Southampton 1 Chelsea 3

• Liverpool 1 Man City 2

Penulis adalah Penolong Editor Sukan Convergence NSTP

Berita Harian X