Khamis, 4 Oktober 2018 | 11:42pm
ALIJUS Sipil - Foto Datu Ruslan Sulai

SAFA harap GLC lunas tajaan

KOTA KINABALU: Di sebalik kegembiraan layak ke separuh akhir Piala Malaysia, Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) kini dihimpit masalah kewangan hinggakan gaji pemain pasukan itu turut tertunggak.

Presiden SAFA, Alijus Sipil berkata, persatuan itu kini dalam proses menuntut baki tajaan yang dijanjikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi menyelesaikan masalah itu.

“Kami mengambil beberapa tindakan termasuk cuba dapatkan tajaan yang sudah dijanjikan dengan jumlahnya boleh menyelesaikan sebahagian besar masalah kewangan yang sedang dihadapi.

“Saya harap perkara ini (menerima tajaan yang dijanjikan) dapat diselesaikan dalam masa terdekat dan pada masa sama, kami juga mengharapkan bantuan kerajaan kegeri,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Alijus berharap, pemain pasukan itu meneruskan semangat juang tinggi pada separuh akhir menentang Perak.

“Selepas enam tahun gagal layak dalam Piala Malaysia, Sabah kini di separuh akhir, satu-satunya pasukan dari Liga Perdana yang masih bertahan walaupun bersaing dengan pasukan Liga Super pada peringkat kumpulan dan suku akhir.

“Saya tahu ia bukan tugas mudah apa lagi ketika persatuan dibelenggu masalah kewangan hingga gaji pemain tertunggak, tapi mereka berjaya melakukannya berbekalkan semangat juang tinggi demi bola sepak negeri ini,” katanya.

Sabah akan bertandang ke Ipoh bagi separuh akhir pertama, Ahad ini sebelum menjadi tuan rumah separuh akhir kedua di Stadium Likas pada 21 Oktober depan.

Berita Harian X