Selasa, 2 Oktober 2018 | 6:42am
PEMAIN Bournemouth, David Brooks (kiri) mengawal bola dari pemain Crystal Palace, Patrick van Aanholt pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters
PEMAIN Bournemouth, David Brooks (kiri) mengawal bola dari pemain Crystal Palace, Patrick van Aanholt pada aksi perlawanan Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi. - Foto Reuters

Bournemouth rakam kemenangan dramatik 

BOURNEMOUTH, United Kingdom: Bournemouth meraih kemenangan dramatik dan mendebarkan ketika menumpaskan Crystal Palace 2-1, hasil jaringan penalti Junior Stanislas pada penghujung perlawanan Liga Perdana Inggeris di Dean Court, awal pagi tadi.

Skuad bimbingan Eddie Howe itu berada di depan hasil jaringan David Brooks seawal minit kelima, sebelum Patrick Van Aanholt menyamakan kedudukan untuk Palace, lima minit selepas babak kedua berlangsung.

Van Aanholt dikatakan berada dalam kedudukan offsaid ketika menjaringkan gol, namun Bournemouth jelas berjaya mengekalkan rentak permainan menarik mereka pada musim ini dan lebih berbahaya ketika melakukan serangan.

Ketika saingan berbaki tiga minit, pemain gantian, Stanislas berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas Mamadou Sakho didakwa menyiku Jefferson Lerma.

Kini, Bournemouth meraih empat kemenangan untuk musim ini dan berada di kedudukan ketujuh Liga Perdana. Kemenangan itu juga adalah yang pertama mereka ketika beraksi di laman sendiri menentang Palace, sejak November 1988. 

Palace pula kekal berada di kedudukan bawah liga selepas kalah empat perlawanan setakat ini.

Selepas kekalahan 0-4 pada Burnley minggul lalu, Howe mendesak pemain Bournemouth supaya ‘kembali kepada asas’ untuk bermain bola sepak dan meraih kemenangan.

Jelas, mesej itu berjaya membangkitkan semangat pemain untuk lebih ghairah memburu kemenangan serta mempamerkan aksi lebih bertenaga. – AFP 

 

Berita Harian X