Rabu, 12 September 2018 | 10:27am
LUIS Enrique. - Foto EPA
LUIS Enrique. - Foto EPA

Permulaan sempurna Enrique buat La Roja

ELCHE, Sepanyol: Luis Enrique menganggap ia sebagai permulaan sempurna selepas Sepanyol menyusuli kemenangan ke atas England dengan membelasah Croatia 6-0, awal pagi tadi.

Sepanyol mendahului tiga gol ketika rehat menentang naib juara Piala Dunia menerusi dua jaringan jarak jauh Marco Asensio dan tandukan awal Saul Niguez.

Asensio kemudian membantu tiga gol lagi pada babak kedua ketika Rodrigo Moreno, Sergio Ramos dan Isco melengkapkan kemenangan besar di Elche.

Enrique mengambil alih selepas kekalahan mengaibkan di tangan Russia pada Piala Dunia menyebabkan Sepanyol meragui corak permainan pegangan bola yang membantu mereka memenangi tiga kejuaraan utama berturut-turut antara 2008 hingga 2012.

Beliau menjanjikan perubahan dan ketika pasukannya masih mendominasi pegangan bola, mereka lebih pantas dan mantap di suku ketiga padang.

Mengalahkan dua pasukan yang layak ke separuh akhir Piala Dunia dalam tempoh empat hari melonjak Sepanyol sebagai pendahulu Kumpulan 2, Liga A kejohanan Liga Negara Eropah.

Namun mungkin apa yang lebih penting, ia memberikan lebih keyakinan pemain terhadap corak diterapkan Enrique.

“Ia mungkin terlalu mudah untuk menyatakan inilah pasukan Sepanyol saya, mencipta banyak peluang dan tidak melepaskan banyak gol, tapi hakikatnya saya mengubahnya dengan terlalu pantas,” kata Enrique. “Minggu ini setiap perkara sempurna.”

Asensio muncul pemain bintang yang mencuri tumpuan namun Saul, yang turut mengagumkan ketika menentang England, menyerlah sekali lagi di samping pemain tengah berbakat berusia 23 tahun, Dani Ceballos.

“Perbandingan dengan Piala Dunia dan malam ini tidak wajar,” kata Enrique. “Hari ini kami amat efektif dan setiap perkara menjadi seperti diharapkan. Mereka mempunyai peluang awal, mereka tidak menggunakannya dan kemudian kami bermain cemerlang serta menjaringkan beberapa gol hebat.” - AFP

Berita Harian X