Isnin, 10 September 2018 | 9:58am
SEKURANG-KURANGNYA seorang terbunuh, manakala 40 cedera selepas berlaku rempuhan penyokong pada kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika. - Foto AFP
SEKURANG-KURANGNYA seorang terbunuh, manakala 40 cedera selepas berlaku rempuhan penyokong pada kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika. - Foto AFP

Penyokong maut mahu lihat aksi Mane

ANTANANARIVO: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh, manakala 40 cedera selepas berlaku rempuhan penyokong pada kempen kelayakan Piala Negara-Negara Afrika yang menyaksikan Madagascar seri 2-2 ketika bertemu Senegal, pagi tadi.

Jumlah korban itu disahkan oleh pengarah hospital di bandar Antananarivo yang berlangsungnya perlawanan Kumpulan A di Stadium Mahamasina.

Saksi kejadian mendakwa, rempuhan dan rusuhan itu berlaku di pintu masuk sebelum sepak mula.

Seorang terbunuh, manakala 37 cedera termasuk dua mangsa yang berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan di kepala serta dada.

Penyokong sudah berbaris di luar stadium sembilan jam sebelum sepak mula perlawanan yang menjadi tumpuan, berikutan kehadiran bintang Liverpool, Sadio Mane yang beraksi bersama Senegal. 

Keputusan itu menyaksikan Senegal dan Madagascar berkongsi kedudukan teratas Kumpulan A dengan mengumpul empat mata daripada dua perlawanan.

Senegal menewaskan Equatorial Guinea 3-0 di pusingan pertama.

Moussa Konate meletakkan Senegal di depan minit ke-27, sebelum Paulin Voavy menyamakan kedudukan seminit sebelum tamat separuh masa pertama.

Keita Balde kembali meletakkan Senegal di depan pada minit ke-62, sebelum pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly menjaringkan gol ke gawang sendiri lima minit kemudian.- AFP

Berita Harian X