Khamis, 23 Ogos 2018 | 4:05pm
HAMID (tengah) mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden SAFA pada kongres tahunan persatuan berkenaan, Sabtu ini. - Foto Ryan Stanley
HAMID (tengah) mengumumkan bertanding jawatan timbalan presiden SAFA pada kongres tahunan persatuan berkenaan, Sabtu ini. - Foto Ryan Stanley

Hamid Apdal sah tanding timbalan presiden SAFA

KOTA KINABALU: Adik Ketua Menteri Sabah, Hamid Apdal, mengesahkan bertanding jawatan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) pada pemilihan persatuan itu, Sabtu ini.

Ahli perniagaan berusia 53 tahun itu berkata, keputusan itu dibuat susulan dorongan beberapa pihak yang mahu beliau berada dalam SAFA, seterusnya membantu persatuan berkenaan untuk lebih maju. 

"Antara usaha yang akan saya lakukan sekiranya dipilih (timbalan presiden) nanti ialah membangunkan bola sepak di peringkat luar bandar. 

"Kita memiliki ramai bakat di luar bandar namun saya percaya dengan program lebih teratur, kita mampu melahirkan lebih ramai lagi (pemain dari luar bandar)," katanya dalam sidang media, di sini, hari ini. 

Ketika mengulas sebab beliau menarik diri dari bertanding jawatan presiden SAFA, Hamid berkata, keputusan itu dibuat kerana mahu memberi laluan kepada mereka yang lebih layak dan memiliki lebih banyak masa untuk menerajui persatuan terbabit.

"Saya menyahut seruan Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) yang mahu individu mempunyai lebih banyak masa menerajui SAFA, berundur diri bukan bermaksud mengalah, tetapi langkah untuk menjadikan SAFA lebih maju," katanya. 

Sementara itu, Hamid berkata, beliau tidak menyebelahi mana-mana pihak atau kumpulan yang bertanding pada pemilihan itu nanti. 

"Apa yang paling penting, tidak kisah menang atau kalah, semua yang bertanding masih dapat duduk semeja untuk sama-sama memberi idea bagi memajukan SAFA seterusnya memajukan bola sepak Sabah. 

"Saya lihat dua calon presiden memiliki potensi masing-masing, jadi saya serahkan kepada perwakilan untuk memilih dan saya harap mereka membuat pilihan terbaik," katanya. 

Pada kongres tahunan itu, jawatan presiden bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara pemangku presiden ketika ini, Datuk Yusoff Kasim dan bekas setiausaha agung badan induk itu, Alijus Sipil.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, selain Hamid, tiga lagi calon lain ialah Datuk Rahman Zakaria, Datuk James Wong dan Fredoline Penggo. 

Berita Harian X