Khamis, 23 Ogos 2018 | 3:59pm
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Rasul Azli Samad
PRESIDEN FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin. - Foto Rasul Azli Samad

Pusingan 16 jadi penanda aras FAM

KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kini meletakkan pusingan 16 terbaik sebagai penanda aras buat semua pasukan bawah umur kebangsaan pada kejohanan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, ia susulan kejayaan skuad bawah 23 (B-23) tahun yang berjaya mara ke pusingan 16 terbaik pada Kejuaraan AFC yang berlangsung di China, Januari lalu.

“Awal tahun lalu, skuad B-23 mara sehingga ke pusingan 16 terbaik dan bukan sahaja mereka tetapi pasukan lain seperti Bawah 19 tahun (B-19) dan Bawah 16 tahun (B-16) turut layak ke pusingan akhir AFC.

“Jadi selepas melihat persembahan semua pemain dan prestasi jurulatih yang mengendalikan tiga pasukan itu, saya rasa kita perlu mengekalkan penanda aras kita di pusingan 16 terbaik.

“Selepas ini, sekurang-kurangnya semua pasukan perlu mara sehingga ke pusingan 16 terbaik pada kejohanan peringkat Asia,” katanya.

Skuad B-23 yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mencipta kejutan di bumi China apabila muncul naib juara Kumpulan C dan mara ke peringkat 16 terbaik namun terpaksa akur apabila tewas tipis 1-2 di tangan gergasi Asia, Korea Selatan.

Namun, skuad negara menebus kekecewaan itu apabila menewaskan lawan sama 2-1 pada aksi kedua Kumpulan E Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018, minggu lalu.

Skuad B-19 yang dikendalikan Bojan Hodak mengesahkan tempat ke Kejuaraan AFC 2018 di Indonesia, Oktober ini selepas menjadi naib juara Kumpulan F di belakang Korea Selatan.

Empat pasukan yang mara ke separuh akhir kejuaraan itu akan mendapat tiket ke Piala Dunia Bawah 20 tahun (B-20) 2019 yang akan berlangsung di Poland sebagai wakil AFC.

Skuad B-16 bimbingan Lim Teong Kim pula akan beraksi pada Kejuaraan AFC 2018 yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bulan depan.

Empat pasukan terbaik pada pertandingan itu akan mendapat tiket ke Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) 2019 yang akan diadakan di Peru sebagai wakil AFC.

Berita Harian X