Ahad, 19 Ogos 2018 | 7:45pm
NUBLI Ab Latif
NUBLI Ab Latif

AJK KAFA meninggal dunia

KOTA BHARU: Ahli Jawatankuasa (AJK) Eksekutif Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Nubli Ab Latif meninggal dunia akibat penyakit paru-paru berair, hari ini.

Nubli, 54, yang juga Ketua Sektor (Unit Pengurusan Sekolah Menengah) Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 11 pagi ini.

Rakan arwah, Mohd Zainy Zain ketika dihubungi berkata, rakannya dimasukkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini malam tadi.

Katanya, beliau terkejut selepas menerima khabar mengenai rakan karibnya yang sering membantu dalam membangunkan bolasepak negeri itu dan menganggap ia satu kehilangan besar.

"Arwah seorang yang aktif dan dikenali ramai sebagai suka membantu sesiapa saja. Sepanjang perkenalan kami dia memang sentiasa mesra dengan semua orang.

"Pemergiannya memang satu kehilangan besar dalam pembangunan bola sepak malah dia juga banyak berjasa dalam sektor pendidikan negeri ini.

"Kenangan manis saya bersama arwah adalah ketika berkunjung ke Jepun tahun lalu bagi melihat pembangunan bola sepak di sana dan sepatutnya dia juga bakal ke Jepun hujung tahun ini atas jemputan Pengarah Urusan Yakult Malaysia, Hiroshi Hamada," katanya.

Jenazah Nubli dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Tebing Tinggi di sini.

Berita Harian X