Rabu, 1 Ogos 2018 | 5:11pm

JDT mampu pertahan Piala Malaysia: penyokong

JOHOR BAHRU: Kelab Penyokong Bolasepak Johor Darul Ta'zim (KPBJDT) berharap pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) mampu mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi pada tahun lalu.

Presiden KPBJDT, Azman Jalil berkata, pencapaian JDT menjuarai Liga Super untuk lima musim berturut-turut sudah cukup membanggakan dan kini saingan piala berprestij yang bermula Sabtu ini diharap mampu menjelmakan kejayaan.

Katanya, walaupun pada musim ini pelbagai isu timbul terutama pengambilan pemain import selepas Jorge Pereyra Diaz menghilangkan diri selain peletakan jawatan ketua jurulatih Ulisses Morais namun apa jua permasalahan dapat ditangani dengan tindakan profesional pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Apabila Morais letak jawatan, ada dalam kalangan penyokong tampak kurang bersetuju dengan pelantikan Raul Longhi membimbing JDT namun beliau sudah membuktikan kewibawaan selaku jurulatih selepas JDT muncul juara liga.

"Malah sewaktu pengambilan pemain import baharu ketika jendela perpindahan kedua Mei lalu, kelibat Fernando Marquez dan Fernando Elizari tampak tercari-cari untuk menyesuaikan diri dengan corak permainan yang diterapkan Longhi tetapi kedua-dua pemain mula menunjukkan peningkatan mendadak dan membantu JDT melakar sejarah bola sepak Malaysia.

"Ternyata usaha gigih Tunku Ismail dan kejurulatihan JDT membuktikan betapa pasukan itu tetap unggul dan mampu menjuarai liga untuk lima musim berturut-turut dan kami di kelab penyokong menghargai jasa dan pengorbanan setiap pemain yang tidak kenal erti kekecewaan," katanya ketika dihubungi Sukan NSTP.

Mengulas mengenai saingan piala berprestij itu, Azman menganggap laluan JDT dalam Kumpulan C tetap berliku tatkala diundi bersama naib juara musim lalu, Kedah, Kelantan dan MIFA.

Malah beliau berharap aksi pertama menentang skuad kendalian K Devan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Ahad ini bermula dengan langkah kanan bagi memberi impak positif.

"Sebagai penyokong kami sentiasa berdiri dibelakang pasukan JDT tidak kira menang atau kalah dan kami tidak mahu memberi tekanan kepada pemain sebaliknya biarlah mereka mengharungi satu demi satu perlawanan," kata Azman.

 

Berita Harian X