Rabu, 25 Julai 2018 | 1:45pm

Malaysia perlu waspada ancaman Indonesia, Vietnam

KUALA LUMPUR: Bukan sahaja Thailand malah Indonesia dan juga Vietnam mampu menjadi pencabar buat Malaysia pada Kejuaraan Futsal Persekutuan Bolasepak Asia Tenggara (AFF) 2018 yang akan berlangsung, November ini.

Peringatan itu dilontarkan pengendali skuad futsal lelaki negara, Chiew Chun Yong yang mengakui dua negara terbabit mampu menjadi penghalang kepada anak buahnya dalam usaha untuk sekali lagi mara ke final pada edisi kali ini.

"Sasaran kami adalah untuk ke final kerana edisi tahun lalu menyaksikan kami mara ke perlawanan akhir. Jadi kita tidak boleh mensasarkan kurang daripada itu.

"Kita perlu berhati-hati kerana bukan setakat Thailand tetapi Indonesia dan juga Vietnam akan menjadi pencabar terkuat khususnya Indonesia kerana mereka membuat persiapan yang begitu rapi.

"Tambahan pula, mereka beraksi di laman sendiri jadi saya jangkakan aksi yang sengit bukan hanya pada pasukan namun juga penyokong mereka. Kita perlu bersedia untuk berhadapan situasi ini," katanya.

Malaysia mara ke pentas akhir kempen 2017 dan nyaris mengejutkan gergasi futsal Asia Tenggara, Thailand sebelum tewas 4-3 dalam aksi yang berlanjutan sehingga masa tambahan.

Bagaimanapun, skuad negara juga pernah muncul juara pada kejuaraan AFF dengan pencapaian terbaik mereka adalah menjadi naib juara dalam empat edisi (2003, 2005, 2010 dan 2017).

Mengulas lanjut mengenai persediaan fasa satu yang sedang berlangsung, Chun Yong menjelaskan dia mahu menguji sembilan pemain baharu yang dipanggil pada fasa latihan kali ini.

"Sembilan pemain ini dinilai berdasarkan persembahan pada Liga Futsal Kebangsaan (LFK) sepanjang dua bulan ini sebelum latihan fasa kedua dijalankan pada bulan hadapan.

"Saya akan menentukan sama ada mereka boleh menyesuaikan diri dengan tahap permainan skuad kebangsaan dan menepati kriteria yang diperlukan untuk pemilihan terakhir ke AFF nanti," katanya.

Berita Harian X