Ahad, 22 Julai 2018 | 5:07pm
JURULATIH skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin
JURULATIH skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Kim Swee tak pernah fikir tarik diri Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Jurulatih skuad Bawah 23 tahun (B-23), Datuk Ong Kim Swee menegaskan beliau tidak pernah memikirkan untuk menarik diri dari saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan berlangsung bulan hadapan.

Meskipun bakal berdepan situasi kekurangan pemain susulan keengganan beberapa pasukan untuk melepaskan pemain, Kim Swee mengakui beliau dan barisan pemainnya begitu memandang serius kejohanan terbabit.

Katanya, peraturan pertandingan menetapkan mereka perlu membawa sekurang-kurangnya 18 pemain untuk beraksi dan jika mereka terus berdepan dengan masalah kekurangan pemain, situasi itu akan memaksa mereka untuk menarik diri.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya bahawa skuad muda negara mahu tarik diri daripada Sukan Asia 2018 dan sebaliknya saya menjelaskan peraturan sebenar tentang senarai pemain minimum ke kejohanan tersebut.

"Saya menjawab soalan daripada media mengenai kesan menepati membawa 18 pemain minimum ke Sukan Asia 2018 dan bukan intipati agenda untuk tarik diri daripada kejohanan itu.

"Sudah tentu kita mahu bermain di Sukan Asia kerana kita tahu kejohanan ini memberikan platform kepada kita untuk bermain dengan pasukan-pasukan bagus seperti contoh Korea Selatan, Arab Saudi dan sebagainya.

"Kesimpulannya pasukan bawah 23 tahun tidak pernah merancang untuk menarik diri daripada kejohanan bola sepak Sukan Asia 2018 dan kami cukup memandang serius dalam hal ini.

"Apa yang mustahak, saya akan mengikuti perancangan pihak pengurusan yang menentukan persiapan kami ke Sukan Asia 2018 dan saya sebagai ketua jurulatih akan bertindak seperti yang diarahkan," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sukan NSTP melaporkan skuad B-23 negara bakal berdepan 'malapetaka' dahsyat apabila berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan berlangsung bulan hadapan andai terus dibelengu kekusutan isu pelepasan pemain untuk kempen Piala Malaysia.

Situasi itu diakui Kim Swee yang tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 18 pemain untuk mengharungi kejohanan terbabit.

Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan aksi Piala Malaysia.

Berita Harian X