Ahad, 22 Julai 2018 | 5:06pm
Bekas pertahanan pasukan kebangsaan, Datuk Santokh Singh

Tak perlu tarik diri Sukan Asia

KUALA LUMPUR: Skuad Bawah 23 tahun (B-23) tidak perlu menarik diri dari saingan Sukan Asia Jakarta-Palembang meskipun berdepan masalah keengganan pasukan untuk melepaskan pemain.

Bekas pertahanan pasukan kebangsaan, Datuk Santokh Singh menyifatkan tindakan untuk menarik diri itu juga tidak wajar dilakukan sambil menegaskan negara tetap perlu menghantar pasukan kebangsaan untuk menyertai saingan terbabit.

"Jika kita tidak dapat menghimpunkan sebilangan besar pemain dalam pasukan utama, mungkin ada cara lain seperti memanggil pemain yang lebih muda untuk mewakili skuad B-23.

"Tidak perlu untuk menarik diri kerana masalah kekurangan pemain kerana dengan kemasukan pemain baharu, sudah tentu ini akan membantu melengkapkan pasukan.

"Biarpun pasukan yang dibentuk itu kurang mantap, sekurang-kurangnya kita tetap boleh menghantar pasukan untuk bersaing sekali gus memberi pendedahan dan pengalaman kepada mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Pada masa sama, bekas pertahanan Selangor itu juga mengharapkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bekerjasama dengan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) supaya dapat menunda tarikh perlawanan Piala Malaysia.

"Masalah ini berlaku kerana pertembungan jadual. Sekiranya jadual dapat diubah, mungkin ini akan membantu pasukan dapat melepaskan pemain.

"Apapun, setiap pasukan harus ingat bahawa panggilan menyertai skuad kebangsaan adalah lebih mustahak dan sepatutnya menjadi keutamaan," katanya,

Terdahulu, skuad B-23 negara bakal berdepan 'malapetaka' dahsyat apabila berkemungkinan terpaksa menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang yang akan berlangsung bulan hadapan andai terus dibelengu kekusutan isu pelepasan pemain untuk kempen Piala Malaysia.

Situasi itu diakui jurulatihnya, Datuk Ong Kim Swee yang tidak menolak kemungkinan pemainnya perlu menarik diri daripada kejohanan terbabit jika beliau gagal untuk mengumpulkan sekurang-kurangnya 18 pemain untuk mengharungi kejohanan terbabit.

Malah, Kim Swee jelas tidak mempunyai perancangan lain sekiranya beberapa pasukan tetap berkeras enggan melepaskan pemain yang dipanggil berikutan aksi di Sukan Asia itu bertembung dengan aksi Piala Malaysia.

Berita Harian X