Jumaat, 13 Julai 2018 | 6:56am
- Foto hiasan
- Foto hiasan

'Jiran lama Balkan' tidak gembira kejayaan Crotia

BELGRADE: Ada jiran Croatia dalam bekas Yugoslavia memuji pasukan itu mencipta kejutan mara ke final Piala Dunia di Russia - namun tidak menjangkakan presiden Serbia akan menyokong mereka ketika ini.

Setiap kali adanya kejohanan besar, kata-kata sama akan kedengaran di rantau itu: "Jika Yugoslavia sebuah negara, bayangkan pasukan hebat yang akan kita ada."

Kata-kata nostalgia itu menyembunyikan hakikat bahawa Croatia tiada masalah tanpa pemain Bosnia atau Serbia dan Yugoslavia juga tidak pernah mara ke final Piala Dunia.

Jika ada seorang yang begitu sayangkan bola sepak dan mengimpikan Yugoslavia dengan pelbagai budaya, ia pastinya Ivica Osim, jurulatih terakhir Yugoslavia sebelum negara itu berpecah akibat keganasan.

Dia mengetuai pasukan menakjubkan pada Piala Dunia 1990 di Itali yang disingkirkan pada suku akhir menerusi penentuan penalti Diego Maradona dari Argentina.

Apabila angkatan tentera Serbia mula menyerang kota itu, Osim sambil menangis memberitahu wartawan Serbia, dia berharap mereka masih mengingati "bahawa dia dari Sarajevo."

Kini berusia 77 tahun, rakyat Bosnia itu menyaksikan laluan Croatia dan pemain tengah hebat Luka Modric ke saingan final Ahad ini berdepan Perancis dengan penuh minat.

"Mereka berjaya menyatukan kualiti individu kepada satu kesamaan" dan tidak pernah putus asa walaupun mereka keletihan," katanya kepada akhbar Jutarnji List sambil berkata "ini tidak sama seperti dilakukan kami."

Dalam rantau yang dicemari konflik pada 1990-an menyebabkan 130,000 terbunuh, ramai masih sukar menyatakan sokongan terhadap Croatia walaupun sama bahasa dan budaya.

Serbia terutamanya, ketika pasukan mereka gagal layak ke Piala Dunia.

Pada awal Jun, satu Piala Dunia mini dianjurkan buat kanak-kanak peringkat sekolah di Belgrade dengan setiap pasukan akan memakai jersi 32 pasukan yang layak - kecuali pasukan yang mewakili Croatia. 

Untuk mengelak sensitiviti kepada rakyat Serbia, kanak-kanak dalam pasukan itu hanya memakai baju hitam dan putih.

Atlet terbaik Serbia, Novak Djokovic menjadi idola di negaranya, namun apabila juara 12 kali Grand Slam itu menyuarakan sokongan buat pasukan Piala Dunia Croatia, dia dikritik hebat ahli politik parti pemerintah Vladimir Djukanovic, dari Parti Progresif Serbia.

"Hanya orang bodoh menyokong Croatia. Anda tidak malukah Novak?" kata Djukanovic menerusi twitter.

Presiden Serbia, Aleksandar Vucic tidak menyembunyikan pasukan pilihannya pada saingan suku akhir apabila Croatia menentang tuan rumah Russia.

"Saya menyokong Russia, itu hak saya. Serbia negara demokratik dan sesiapa saja boleh menyokong siapa mereka mahukan," kata Vucic. - AFP

Berita Harian X