Selasa, 3 Julai 2018 | 4:03am
JURULATIH Argentina, Jorge Sampaoli. - Foto Reuters
JURULATIH Argentina, Jorge Sampaoli. - Foto Reuters

Sampaoli mungkin dipecat

BUENOS AIRES: Jurulatih Argentina, Jorge Sampaoli mungkin dipecat susulan penyingkiran pasukannya daripada Piala Dunia di tangan Perancis, menurut laporan hari ini.

Khabar angin menyatakan beliau sudah tidak sehaluan dengan pemain termasuk kapten, Lionel Messi yang menyaksikan beliau dijangka dipecat selepas setahun mengendalikan pasukan meskipun kontraknya masih berbaki empat tahun.

"Lebih berseorangan berbanding si gila yang kesunyian," lapor akhbar sukan Ole di muka hadapannya.

"Di sana ada jalan keluar."

Namun timbul masalah apabila Sampaoli enggan untuk meletakkan jawatan dengan klausa menyatakan Persatuan Bolasepak Argentina (AFA) perlu membayar AS$15 juta (RM60 juta) kepada jurulatih berusia 58 tahun itu jika mereka menyingkirkannya.

"Pengurusan mahu Sampaoli supaya meninggalkan pasukan namun jurulatih itu enggan," kata Ole yang menjalankan undian ke atas 100,000 rakyat Argentina dan 82 peratus daripadanya mahukan bekas bos Chile dan Sevilla itu disingkirkan.

Rekod Sampaoli sejak menjadi jurulatih pasukan itu pada 2017 tidak begitu memberangsangkan dengan piawaian tinggi pasukan itu - tujuh kemenangan, empat seri dan empat kekalahan dalam 15 perlawanan.

Beliau dilantik sebagai jurulatih susulan reputasi tinggi selepas berjaya mengemudi Chile merangkul Copa America 2015 dengan menewaskan Argentina menerusi penentuan sepakan penalti.

Namun, juara dua kali itu bergelut untuk melayakkan diri ke Russia susulan prestasi hambar pada kempen kelayakan. - AFP

Berita Harian X