Ahad, 1 Julai 2018 | 5:41pm
PENGENDALI Portugal Fernando Santos. - Foto EPA
PENGENDALI Portugal Fernando Santos. - Foto EPA

Santos harap Ronaldo tidak bersara

SOCHI: Pengendali Portugal Fernando Santos berharap Cristiano Ronaldo akan terus bersama skuad kebangsaan di sebalik kekecewaan yang dialami pasukan itu selepas gagal meneruskan saingan di Piala Dunia berikutan kekalahan 2-1 di tangan Uruguay.

Edinson Cavani menjaringkan dua gol menarik pada aksi 16 terakhir itu dan gol tandukan Pepe tidak memadai buat Portugal untuk mengheret permainan ke masa tambahan.

"Kami tahu di Portugal, datarannya penuh dengan orang ramai dan kami merasai kehadiran mereka di sini, jadi perkataan yang boleh dikatakan kepada rakyat Portugal - kami sangat sedih kerana tidak mampu melakukannya," kata Santos.

Santos berkata, pasukannya sudah mengkaji lawan tetapi adalah sukar untuk menafikan gol pertama Uruguay yang menampilkan interaksi menarik antara Luis Suarez dan Cavani.

"Mereka membuat hantaran lintang dari kiri dan kemudiannya ke kanan, tiada siapa yang boleh menghalangnya. Penyerang mereka sangat kuat.

"Satu berada di depan dan satu lagi datang dari belakang. Ia adalah permainan luar biasa. Mereka tidak pernah menjaringkan gol seperti itu sebelum ini," kata pengendali berusia 63 tahun itu.

Juara Eropah itu menyamakan kedudukan menerusi tandukan Pepe namun Uruguay kembali di hadapan apabila Cavani meledakkan gol kedua dan Portugal gagal untuk membalasnya.

"Kami tahu mereka sangat kuat di bahagian tengah, jadi beberapa pemain kami bermain secara terbuka dan cuba untuk membolosi pertahanan Uruguay. Pada babak pertama ia kurang menjadi.

"Di separuh masa kedua ia lebih baik tapi kami tetap gagal mencari gol penyamaan," katanya.

Santos berharap Ronaldo, 33, yang meledak 185 gol antarabangsa sepanjang 154 kali mewakili Portugal, akan terus bersama pasukan terutama menjelang Liga Negara-Negara UEFA September ini. - REUTERS

 

 

Berita Harian X