Jumaat, 29 Jun 2018 | 12:23pm
JOSE Maria Gimenez (kiri) dan Diego Godin ketika latihan di Nizhny Novgorod. - Foto EPA
JOSE Maria Gimenez (kiri) dan Diego Godin ketika latihan di Nizhny Novgorod. - Foto EPA

Godin, Gimenez kunci halang Ronaldo

SOCHI: Dua pemain yang membolehkan Uruguay dilabel sebagai pasukan yang memiliki pertahanan terbaik di Piala Dunia setakat ini, akan cuba menghalang Cristiano Ronaldo apabila Uruguay bertemu Portugal pada pusingan kedua awal pagi esok.

Mereka yang dimaksudkan adalah kapten Uruguay, Diego Godin dari Atletico serta rakan sepasukan, Jose Maria Gimenez yang bakal menggalas tugas menyekat pemenang lima gelaran Ballon d'Or itu.

Pertembungan dua negara itu pasti menarik dengan Ronaldo, 33, menikmati edisi Piala Dunia paling terbaik setakat ini tetapi Uruguay adalah pasukan yang melepasi saingan peringkat kumpulan tanpa melepaskan sebarang gol.

Godin pakar dalam menafikan cubaan lawan ketika mengetuai Atletico serta membantu Uruguay melakar rekod bersih tidak dibolosi pada Piala Dunia setakat ini.

CRISTIANO Ronaldo. - Foto EPA
CRISTIANO Ronaldo. - Foto EPA

Ronaldo pula sudah meledak empat gol pada Piala Dunia kali ini termasuk hatrik ketika Portugal seri 3-3 dengan Sepanyol.

Ini bermakna, dia sudah mengumpul 85 gol antarabangsa sekali gus melakar sejarah melebihi mana-mana pemain Eropah.

"Godin adalah pemain bintang. Dia bertahan, memberi arahan, menjaringkan gol, memenangi kejuaraan dan tidak terlepas walau satu pun perlawanan," kata legenda Argentina, Diego Maradona baru-baru ini.

Gimenez pula yang meledak gol kemenangan lewat permainan ketika bertemu Mesir, dijangka menyertai Godin di barisan pertahanan selepas tidak diturunkan ketika mencatat kemenangan 3-0 ke atas Russia kerana berdepan kecederaan.

Uruguay juga bakal diperkuatkan dengan barisan pemain berkaliber di bahagian tengah seperti Rodrigo Bentancur, Lucas Torreira dan Matias Vecino dengan di bahagian serangan pula digalas Luis Suarez serta Edinson Cavani. - AFP

  

Berita Harian X