Isnin, 4 Jun 2018 | 12:31am
PEMAIN Negeri Sembilan, Flavio Beck Junior (kanan) diasak pemain PKNS FC, Rodney Celvin Akwensivie pada aksi Liga Super 2018 di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, sebentar tadi. - Foto IQMAL HAQIM ROSMAN

NS mudah jinak PKNS di Paroi

SEREMBAN: Negeri Sembilan (NS) meneruskan rentak cemerlang apabila menewaskan PKNS FC, 3-1, dalam aksi Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan ketiga barisan pimpinan Mario Lemos musim itu sekali gus membolehkan skuad Hobin Jang Hobin naik satu anak tangga tempat ke-11 dalam senarai carta liga musim ini.

NS yang turun dengan misi penting mendapatkan mata penuh berpeluang mendahului lawan lenih awal, namun sepakan Mohd Khairul Izuan Rosli dari jarak 30 meter pada minit ke-20, sekadar tepat ke dakapan penjaga gol PKNS, Mohd Shahril Sa`ari.

Usaha keras skuad Rusa untuk mendapatkan gol akhirnya membuahkan hasil apabila mendapat sepakan penalti selepas bola terkena tangan K Gurusamy pada minit ke-35.

Flavio Junior yang mengambil sepakan itu tidak mengecewakan apabila menyepak kemas gol pertama tuan rumah untuk mendahului PKNS, 1-0.

Sebaik bersambung babak kedua, Khairul Izuan hampir mencetak nama sebagai penjaring, namun sepakan gunting ke arah pintu gol selepas bijak menyambut hantaran lintang daripada Mohd Aiman Khalidi pada minit ke-46, dihalang Mohd Shahril.

Anak buah Lemos dilihat terus menggandakan asakan ke kubu PKNS untuk mencari gol tambahan, namun beberapa serangan mereka tersekat.

Pelawat yang memasukkan bekas penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali, sesekali memberi ancaman ke kubu tuan rumah.

NS mendapat gol kedua apabila Junior sekali lagi melengkapkan aksi cemerlang menerusi sepakan penalti pada minit ke-61, susulan bola terkena tangan kapten PKNS, Zachary Anderson.

Mohd Faris Danial Nasir yang masuk hanya kira-kira enam minit meletakkan NS lebih selesa di depan apabila memanfaatkan hantaran Hazrul Mustafa untuk gol ketiga tuan rumah pada minit ke-68 bagi kedudukan 3-0.

Bagaimanapun empat minit kemudian anak buah Datuk K Rajagopal berjaya merapatkan jurang itu menerusi Romes Oswaldo pada minit ke-72, buat menewaskan Mohd Ilham Razali.

Kedudukan 3-1 itu terus kekal sehingga ke wisel penamat.

Berita Harian X