Selasa, 29 Mei 2018 | 10:26am
PEMAIN DR Congo, Issama Mpeko (kiri) bersaing dengan pemain Nigeria, Oghenekaro Etebo pada perlawanan persahabatan di Stadium Adokiye Amiesimaka di Port Harcourt, semalam. - Foto REUTERS
PEMAIN DR Congo, Issama Mpeko (kiri) bersaing dengan pemain Nigeria, Oghenekaro Etebo pada perlawanan persahabatan di Stadium Adokiye Amiesimaka di Port Harcourt, semalam. - Foto REUTERS

Congo sentap semangat Nigeria

ABUJA: Nigeria memberi bayangan positif sebelum Piala Dunia, namun terpaksa berpuas hati terikat 1-1 dalam aksi persahabatan menentang Republik Demokratik Congo di Stadium Adokiye Amiesimaka di Port Harcourt, di sini, semalam.

Negara berkenaan diundi dalam Kumpulan C bersama-sama Argentina, Croatia dan Iceland, hanya memerlukan 14 minit untuk membuka jaringan namun terlepas beberapa peluang awal sebelum itu dan perlu berterima kasih kepada penjaga gol, Francis Uzoho yang menyelamatkan maruah pasukan pada separuh masa kedua.

William Troost-Ekong menyumbat gol buat Super Eagles, apabila pertahanan Bursapor kelahiran Belanda itu memanfaatkan hantaran lemah selepas Kelechi Iheanacho cuba menolak bola hasil sepakan percuma kapten Ogenyi Onazi.

Congo lebih menguasai perlawanan sepanjang tempoh 90 minit tetapi pasukan pelawat hanya beroleh peluang menyamakan kedudukan 12 minit sebelum tamat aksi, apabila Issam Mpeko meledak penalti berikutan kekasaran dilakukan pertahanan gantian Nigeria Ola Aina.

Nigeria bermula baik dengan sepakan kaki kiri Simeon Nwankwo dari jarak dekat terkena palang yang gagal dikawal ketat penjaga gol Congo.

Penyerang Leicester City, Kelechi Iheanacho pula bagaikan hilang arah dalam perlawanan dan mensia-siakan peluang terhidang apabila mendapat bola daripada bahagian tengah.

Sebelum itu penyerang Bournemouth, Benik Afobe menguji keupayaan Uzoho selepas mendapat peluang namun berjaya diselamatkan penjaga gol muda Deportivo La Coruna.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan banyak mencipta peluang biarpun Uzoho sekurang-kurangnya menyelamatkan percubaan dua kali sebelum kesilapan sewaktu penalti yang memberikan Mpeko gol penyamaan.

Nigeria akan ke England untuk perlawanan persahabatan pra Piala Dunia pada 2 Jun  sebagai persiapan ke Russia 2018.

- AFP

Berita Harian X