Sabtu, 12 Mei 2018 | 4:39pm
DATUK Hamidin Mohd Amin (tiga dari kiri) bersama pemain veteran dan tetamu pada AFC Grassroots Football Day 2018 di Wisma FAM. - Foto Mahzir Mat Isa
DATUK Hamidin Mohd Amin (tiga dari kiri) bersama pemain veteran dan tetamu pada AFC Grassroots Football Day 2018 di Wisma FAM. - Foto Mahzir Mat Isa

Hamidin tak tergugat

PETALING JAYA: Presiden Persatuan Bolasepak Cina Malaysia (MCFA), Datuk Soh Chin Aun percaya Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin calon paling tepat untuk menerajui badan induk itu meskipun beliau terpaksa berdepan persaingan tiga penjuru dalam pemilihan di Kongres Tahunan ke-54 pada 14 Julai depan.

Mungkin ada pihak menganggap sokongan 18 ahli gabungan kepada Hamidin bakal tergugat dengan pencalonan saat akhir bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi sebelum tarikh pencalonan ditutup semalam.

Namun bagi lagenda bola sepak negara, Chin Aun, beliau menganggap pengalaman yang dimiliki Hamidin sukar ditandingi Annuar dan Azim.

"Saya sebenarnya tak patut cakap pasal calon Presiden FAM tapi jika lihat pada rekod memang beliau (Hamidin) Setiausaha Agung yang lama, saya rasa beliau sepatutnya dicalonkan.

"Saya fikir jika dibandingkan dengan ISN (Azim) itu, beliau orang baru dari segi bola sepak, organisasi FAM pun beliau tak tahu. 

"Kalau Annuar Musa, ramai yang sudah tahu rekod beliau, dengan Kelantan ada masalah, bagi saya Datuk Hamidin adalah calon yang tepat," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis AFC Grassroots Football Day 2018, hari ini.

Perebutan kerusi Presiden FAM yang ditinggalkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada bulan lalu menjadi menarik apabila Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mencalonkan Annuar manakala Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) juga mahu menongkah arus dengan memberi sokongan kepada Azim.

Melihat congakan awal, dua pencabar ini berdepan tugas sukar memandangkan Hamidin, bekas Naib Presiden FAM menerima pencalonan 18 ahli gabungan serta menjadi calon pilihan Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Tunku Ismail.

Chin Aun mengingatkan kepada calon yang ingin bertanding supaya meletakkan kepentingan bola sepak negara daripada agenda peribadi.

"Bagi saya sesiapa juga jadi presiden tanggungjawabnya berat, anda perlu uruskan banyak perkara, bukan hanya kerana mahukan kedudukan, ia  bukan mudah. Anda perlukan orang yang ada pengalaman untuk uruskan pentadbiran," katanya.

Berita Harian X