Ahad, 8 April 2018 | 2:41am
DUA peledak Manchester United, Chris Smalling (kiri) dan Paul Pogba meraikan jaringan ketika menewaskan Manchester City 3-2 di Stadium Etihad, sebentar tadi. - Foto AFP
DUA peledak Manchester United, Chris Smalling (kiri) dan Paul Pogba meraikan jaringan ketika menewaskan Manchester City 3-2 di Stadium Etihad, sebentar tadi. - Foto AFP

Pogba, Smalling rencatkan impian City

MANCHESTER, England: Dua gol Paul Pogba pada babak kedua dan jaringan kemenangan Chris Smalling menafikan usaha Manchester City memastikan kejuaraan Liga Perdana Inggeris lebih awal apabila musuh setempat mereka Manchester United bangkit mencatat kemenangan 3-2 di Stadium Etihad, sebentar tadi.

Sesudah mendahului 2-0 ketika rehat menerusi jaringan Vincent Kompany dan Ilkay Gundogan, City dilihat mampu memastikan kejuaraan liga buat kali kelima dalam sejarah dan ketiga dalam tempoh tujuh musim.

Bagaimanapun, Pogba, yang kurang dipedulikan pengurus Jose Mourinho selepas kembali menyertai Red Devils dengan rekod perpindahan dunia pada 2016, tampil menjadi penyelamat maruah pelawat dengan dua gol dalam tempoh dua minit pada babak kedua.

PAUL Pogba cuba lepasi kawalan dua pemain City. - Foto AFP
PAUL Pogba cuba lepasi kawalan dua pemain City. - Foto AFP

Bintang Perancis itu menyudahkan umpanan Ander Herrera bagi merapatkan jurang pada minit ke-53 sebelum menyamakan kedudukan dengan satu tandukan hasil lorongan Alexis Sanchez dua minit kemudian.

Sanchez sekali lagi menjadi pengumpan apabila sepakan percumanya disambut Smalling yang tidak dikawal pada minit ke-69 dengan rembatan kaki kanan ke penjuru gol gagal diselamatkan penjaga gol City dari Brazil, Ederson.

Percaturan jurulatih Pep Guardiola merehatkan beberapa tonggak utamanya termasuk Kevin De Bruyne, Gabriel Jesus dan Sergio Aguero ternyata memakan diri sekalipun pada awalnya percaturan itu kelihatan menjadi.

PEMAIN City, Fabian Delph (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak dua pemain United, Nemanja Matic dan Romelu Lukaku (kanan) pada aksi liga di Etihad, sebentar tadi. - Foto EPA
PEMAIN City, Fabian Delph (tengah) cuba mengawal bola sambil diasak dua pemain United, Nemanja Matic dan Romelu Lukaku (kanan) pada aksi liga di Etihad, sebentar tadi. - Foto EPA

Kompany membuka tirai jaringan pada minit ke-25 apabila dia melonjak mengatasi benteng pertahanan United untuk menanduk masuk hantaran silang Leroy Sane susulan sepakan sudut dari sebelah kiri.

Lima minit kemudian, tuan rumah terus membuktikan penguasaan mereka apabila Gundogan menyempurnakan satu gerakan menarik membabitkan Raheem Sterling sebelum United mempamerkan kebangkitan menakjubkan pada babak kedua.

PENYERANG City, Sergio Aguero (kanan) menjerit kesakitan selepas dikasari pemain United, Ashley Young. - Foto EPA
PENYERANG City, Sergio Aguero (kanan) menjerit kesakitan selepas dikasari pemain United, Ashley Young. - Foto EPA

Sekalipun tewas, City tetap unggul 13 mata di depan United dengan berbaki enam perlawanan dan mereka boleh memastikan kejuaraan jika menewaskan Tottenham Hotspur di Wembley, Sabtu depan.

Sebelum itu, mereka terpaksa melayan kunjungan Liverpool pada suku akhir kedua Liga Juara-Juara di Etihad awal pagi Rabu ini selepas tewas aksi pertama di Anfield 0-3. - Agensi

Berita Harian X