Selasa, 3 April 2018 | 11:50am
PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp yakin dapat rapat jurang apabila menerima kunjungan City ke Anfield pada aksi Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis ini. - Foto EPA-EFE

Klopp tak gentar hadapi skuad hebat Guardiola

LONDON: Jurgen Klopp tiada masalah untuk mengakui kemampuan Pep Guardiola membentuk skuad luar biasa, tetapi pengendali Liverpool itu yakin dia dapat merapatkan jurang mereka apabila Manchester City bertandang ke Anfield untuk pertembungan Liga Juara-Juara.

Selepas bertembung sebelum ini bersama Borussia Dortmund dan Bayern Munich, persaingan antara Klopp dan Guardiola beralih ke pentas lebih tinggi apabila Liverpool berdepan City dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara awal pagi Khamis ini.

Dua pengendali hebat Eropah, Klopp dan Guardiola dilihat bersedia untuk merebut hadiah terbesar sukan berkenaan dalam tahun-tahun mendatang.

Tetapi masing-masing saling menghormati antara satu sama lain, dengan Klopp kagum terhadap keupayaan Guardiola menerapkan falsafah permainannya kepada pasukan.

"Pasukannya sentiasa berada pada posisi yang tepat. Dia sentiasa mempunyai pasukan yang hebat dan mampu membuat keputusan bijak," kata Klopp. "Di Barcelona dia mempunyai Xavi, Iniesta, Busquets, Lionel Messi dan ramai lagi.

"Di Bayern dia mempunyai pemain hebat yang mampu membuat keputusan menakjubkan. Kini, dengan Gundogan, Silva Aguero, Sane di bek kiri, Sterling di kanan, Gabriel Jesus, semuanya luar biasa.

"Posisi amat penting, tetapi ia bukan sihir, bukan perkara luar biasa hanya kerana bek sayap masuk ke dalam.

"Tetapi apabila pemain berada di posisi yang betul, mereka dapat bergerak dengan pantas ke tempat yang sepatutnya, ketika itulah kualiti individu menjadi penting."

Guardiola pula kagum dengan komitmen Klopp menerapkan corak permainan menarik, dengan pengendali dari Sepanyol itu berkata rakan sejawatnya itu adalah pengendali terbaik di dunia untuk penonton kerana membentuk pasukan untuk mengancam benteng terakhir lawan.

- AFP

Berita Harian X